Anda di sini

Petrus mahu jadi pemuda Penan pertama bergelar pelaut

Advertisement
 Petrus (barisan depan, tiga kiri) bersalaman dengan Pengarah Urusan Pelita Maslaut Sdn Bhd, Masni Amit tanda penghargaan kerana memberi peluang kepada beliau. Turut kelihatan para perantis lain.
TERIMA KASIH: Petrus (barisan depan, tiga kiri) bersalaman dengan Pengarah Urusan Pelita Maslaut Sdn Bhd, Masni Amit tanda penghargaan kerana memberi peluang kepada beliau. Turut kelihatan para perantis lain.

MIRI: Petrus John, 21, dari Long Apoj, Ulu Baram merupakan pemuda kaum Penan yang pertama meng-ambil kursus pelaut di Miri dengan impian untuk menjadi orang pertama daripada komunitinya menceburi industri perkapalan serta minyak dan gas.

Petrus memberitahu, selepas mengambil Kursus Perantis Dek Marin selama tiga bulan di Lutong, dekat sini beliau akan meneruskan pembelajaran untuk mendapatkan sijil pelaut dan seterusnya diploma bagi meneruskan cita-cita menjadi pegawai kapal.

“Ketika ini saya mahu menumpukan perhatian untuk menyelesaikan kursus tiga bulan yang bermula semalam dan akan meneruskan pembelajaran untuk mencapai cita-cita saya menjadi pegawai atau kapten kapal,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Menurut Petrus, minatnya untuk menjadi pelaut muncul selepas meninggalkan alam persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marudi, melihat promosi di media sosial, cabaran dalam industri perkapalan dan tawaran gaji yang baik.

Katanya, selepas diberi maklumat kerja sebagai pelaut, beliau segera memohon kursus di Lutong daripada agensi marin dan diterima serta-merta kerana minatnya yang mendalam.

Beliau berkata, selepas kursus pelatih tiga bulan dan diberi peluang bekerja di lapangan, Singapura merupakan tempat pertama yang menarik minatnya kerana terdapat banyak syarikat perkapalan gergasi dan bertaraf antarabangsa di situ.

“Ini satu cara saya untuk membantu ibu bapa dan meningkatkan taraf hidup kami di pedalaman Baram, dengan mengejar minat saya dalam industri perkapalan yang tidak banyak pemuda Penan lain sanggup lakukan,” katanya lagi.

Menurut Petrus, dengan modul kursus yang diberikan pensyarah di sini, ia bukan sahaja tentang bekerja di laut tetapi juga disiplin dan bekerja sebagai satu pasukan, adalah aspek penting untuk menjadi pelaut.

“Sehubungan itu saya menyeru dan amat menggalakkan golongan belia kaum Penan di Baram dan di sini supaya rajin mengikuti kursus asas yang ditawarkan dan kemudiannya mendapatkan sijil dan diploma dalam pelbagai kumpulan kerja, dalam industri perkapalan termasuk menjadi kapten,” ujar beliau lanjut.

Selain itu, Petrus juga mahu lebih ramai golongan belia mengambil pekerjaan sebagai pelaut kerana pasaran kerja yang tinggi di samping gaji lumayan dan peluang untuk melihat negara-negara lain di rantau Asia dan sekitar Borneo.

“Justeru, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengarah Akademi Maritim kerana telah membantu saya untuk menjadi perantis,”  tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement