Anda di sini

KTS akan adakan lebih banyak kerjasama pada masa depan

 Collin (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Indra pada majlis penutupan Seminar Ekspedisi Pemulihan Kawasan Sungai Rawong, semalam.
TERIMA KASIH: Collin (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Indra pada majlis penutupan Seminar Ekspedisi Pemulihan Kawasan Sungai Rawong, semalam.

KOTA KINABALU: KTS Plantation Sdn Bhd akan mengadakan lebih banyak kerjasama dengan pihak berkepentingan pada masa hadapan.

Pengurus Kawasan (Hutan) KTS Plantation Sdn Bhd Collin Goh berkata, kerjasama itu penting dalam usaha menambah baik pengurusan kawasan konservesi hutan rizab syarikat.

“Seperti yang diperkatakan oleh Pengarah Urusan Dato Henry Lau pagi tadi (semalam), hasil daripada ekspedisi penyelidikan digunakan untuk memperbaiki pengurusan kawasan konservasi kami secara holistik melalui pelan pengurusan hutan pada tempoh 2019 hingga 2028.

“Atas dorongan dan sokongan pelbagai pihak, kami tidak sabar untuk mengadakan lebih banyak aktiviti kerjasama pada masa depan sebagai persiapan setelah terbina Stesen Penyelidikan Lapangan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Seminar Ekspedisi Kawasan Pemulihan Sungai Rawong di sini, semalam.

Dalam pada itu, Collin berkata tanpa penglibatan pakar dari pelbagai disiplin, pengurusan hutan lestari akan tetap sukar difahami meskipun menjadi subjek perbincangan dalam mana-mana seminar.

Untuk itu katanya, pendekatan secara amali berasaskan saintifik juga perlu diterapkan memandangkan industri perhutanan juga dilihat semakin berkembang pantas.

“Kita perlu menentukan untuk meneruskan pendekatan secara amali berasaskan saintifik. yang memerlukan model serta kaedah terbaik untuk membimbing kita ke hadapan,” katanya.

Terdahulu, dua panel hadir menyampaikan kertas kerja hasil penyelidikan masing-masing iaitu sesi pertama adalah wakil dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Dr Monica Suleiman, manakala sesi kedua disampaikan oleh wakil dari Jabatan Perhutanan Sabah Indra Sunjoto.

Monica menyampaikan kertas kerja bertajuk Ekosistem Hutan, Sains Fizikal dan Kepelbagaian Tumbuhan, manakala Indra bertajuk Kepelbagaian Hidupan Liar dan Potensi Pelancongan.