Anda di sini

Jurujual kenderaan sambilan tipu pembeli ditahan

Advertisement
HARIS menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pegawainya semasa Majlis Perhimpunan Bulanan IPD Penampang.
HARIS menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pegawainya semasa Majlis Perhimpunan Bulanan IPD Penampang.

PENAMPANG: Seorang jurujual sambilan kenderaan yang menipu pelanggannya sehingga menyebabkan kerugian RM2,800 berjaya ditahan polis di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata suspek berumur 29 tahun kini direman selama empat hari.

"Kejadian awal berlaku apabila mangsa berumur 30 tahun melihat iklan menjual kereta jenis kompak di laman sosial Facebook pada 13 November tahun lalu.

"Mangsa kemudian menghubungi suspek sebelum memasukkan RM2,800 dalam akaun suspek berikutan suspek meminta wang pendahuluan sebanyak RM3,000 untuk mendapatkan kereta terbabit," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian menyedari ditipu apabila tidak menerima sebarang jawapan daripada suspek selepas beberapa bulan sebelum membuat laporan polis minggu lalu.

"Bertindak daripada laporan itu, suspek berjaya ditahan dan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya, sambil menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan iklan di laman sosial.

Haris berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di sini.

Sementara itu Haris berkata indeks jenayah di Penampang menunjukkan peningkatan 31 kes bersamaam 4.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, peningkatan itu adalah normal berikutan daerah Penampang sedang pesat membangun. Bagaimanapun, pihaknya tekad melaksana kerja kepolisan bagi memastikan penduduk daerah ini sentiasa berada dalam keadaan selamat.

  • oleh
  • Advertisement