Anda di sini

Hamilton berasa ‘lebih bagus dari sebelumnya’

Advertisement
HAMILTON
HAMILTON

MONTMELÓ, Sepanyol: Lewis Hamilton berkata beliau berasa ‘lebih bagus dari sebelumnya’ menjelang musim baharu Formula Satu (F1) 2019 di mana beliau ramalkan akan menjadi “yang paling mencabar” sejak menyertai pasukan Mercedes kerana pesaingnya, Ferrari kelihatan sangat pantas.

Pemandu kelahiran Britain berusia 34 tahun itu memenangi kejuaraan dunia yang kelima pada tahun lepas di mana beliau menang 11 dari 21 perlumbaan untuk menewaskan Sebastian Vettel dari Ferrari dengan baki dua perlumbaan dan beliau menjangkakan Ferrari akan sekali lagi memberikan saingan yang kuat.

“Ferrari sangat kuat,” kata Hamilton di sini pada hari ketiga sesi uji pandu pramusim Rabu lepas, dengan Daniil Kvyat dari pasukan Toro Rosso mencipta masa terpantas.

“Ia kelihatan mereka memiliki pakej yang lebih bagus berbanding tahun, dan ia bermakna kami akan berdepan cabaran yang lebih besar,” kata Hamilton.

“Dalam beberapa tahun terakhir, Ferrari kelihatan bagus dari awal, jadi ia sememangnya sudah dijangkakan.”

Tetapi beliau menambah ia adalah satu kesilapan untuk membuat kesimpulan awal berdasarkan bukti dari sesi uji pandu pramusim.

“Kami akan mempunyai idea yang lebih baik menjelang minggu hadapan di mana kedudukan kami tetapi ia masih tanda-tanya untuk semua pasukan.”

Mengenai buruan kejuaraan dunia keenam, Hamilton mengelak dengan berkata: “Saya tidak memburu kejuaraan dunia. Ia adalah musim baharu, tahun baharu, babak baharu dan kami harus melihatnya sebagai musim pertama kami.

“Kami akan memburu untuk nombor satu (kemenangan), itulah pendekatan kami.”

Beliau juga menolak sebarang cadangan terlalu yakin selepas penguasaan bertahun-tahun pasukannya.

Hamilton akan memulakan bidaan memburu kejuaraan dunia yang keenam dengan perlumbaan pembuka tirai musim baharu di Grand Prix Australia di Melbourne pada 17 Mac.

Pada sesi uji pandu Rabu lepas, Kvyat mendahului catatan terpantas selepas 134 pusingan ketika pasukan Williams akhirnya melakukan uji pandu kereta mereka selepas dua hari.

Timbalan pengurus pasukan Williams, Claire Williams, berkata kemunculan kereta dalam litar untuk sesi uji pandu adalah “satu kelegaan besar”.

Beliau menambah: “Ia memalukan kerana tidak dapat menguji pandu kereta di litar apabila pasukan lain dapat melakukannya, terutama sekali sebuah pasukan seperti kami yang sudah melakukan sesi uji pandu dengan baik sejak 40 tahun yang lalu.” — AFP

Advertisement