Anda di sini

Gimenez, Godin bantu Atletico sentak Juventus 2-0 di Wanda Metropolitano

Advertisement
 Ronaldo (kanan) dan Gimenez bersaing untuk mendapatkan bola ketika beraksi pada perlawanan di Stadium Wanda Metropolitano, Madrid pada Rabu lepas. — Gambar AFP
SENGIT: Ronaldo (kanan) dan Gimenez bersaing untuk mendapatkan bola ketika beraksi pada perlawanan di Stadium Wanda Metropolitano, Madrid pada Rabu lepas. — Gambar AFP

MADRID, Sepanyol: Misi Cristiano Ronaldo dalam Liga Juara-Juara bersama Juventus tersentak apabila pasukannya tewas 0-2 kepada Atletico Madrid pada perlawanan pertama pusingan kedua di Wanda Metropolitano di sini Rabu lepas.

Ronaldo kembali ke ibu kota Madrid, di mana beliau menikmati kejayaan bersama kelab Real Madrid tetapi kali ini, bekas pesaing kelabnya meraikan kemenangan selepas gol Jose Gimenez dan Diego Godin meletakkan Atletico menghampiri kelayakan ke suku akhir kejohanan.

“Kami masih belum layak lagi,” kata jurulatih Atletico, Diego Simeone. “Masih ada satu lagi perlawanan dan kami tahu kami akan berdepan kesukaran.”

“Nasib baik kami tidak bolos gol ketiga,” kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri. “Kerana keputusan 2-0 boleh diubah. Kami belum kalah.”

Tetapi ia adalah kemenangan yang selayaknya buat Atletico. Antoine Griezmann melihat cubaannya terkena palang sementara video bantuan pengadil (VAR) diguna pakai dua kali dan dengan tepat membatal satu penalti buat Atletico kerana kekasaran ke atas Diego Costa dan kemudian membatal gol Alvaro Morata sebelum gol Gimenez.

Ketika Juventus cuba mengekalkan saingan, Atletico bermain lebih berani. Simeone memasukkan Morata, Thomas Lemar dan Angel Correa, pada minit ke-6- dan taruhan beliau berhasil.

“Saya menunjukkan keberanian,” kata Simeone.

Juventus masih mempunyai peluang, terutama sekali dengan Costa dan Thomas Partey akan digantung pada perlawanan kedua di Turin selepas menerima kad kuning.

Tetapi kegagalan menjaringkan gol di tempat lawan dan juga penguasaan dalam separuh masa kedua tidak menjamin harapan kebangkitan.

“Mereka tidak memberikan anda peluang,” kata Allegri. “Mereka menyebabkan anda bermain dengan buruk.”

Kekalahan di pusingan kedua pastinya tidak dapat dibayangkan, bagi Atletico, yang tahu final akan dilangsungkan di stadium mereka sendiri pada 1 Jun, masa yang paling sesuai untuk menamatkan penguasaan kelab jiran, Real Madrid.

Dan bagi Juventus, yang menanti kejuaraan terbesar Eropah itu sejak 23 tahun, dengan jangkaan yang lebih tinggi selepas memiliki penyerang paling prolifik dalam kejohanan ini.

Ronaldo bagaimanapun mengharungi malam yang mengecewakan, dikawal ketat dari awal sehingga ke akhir perlawanan.

Sumbangan terbaik beliau ialah satu tendangan percuma dari jarak jauh tetapi berjaya ditepis keluar penjaga gol Jan Oblak.

Costa beraksi cemerlang dan hampir memperolehi tendangan penalti buat Atletico apabila pengadil perlawanan memikirkan beliau telah dijatuhkan oleh Mattia de Sciglio tetapi VAR menunjukkan beliau hanya ‘mempergunakan’ sentuhan dan kelihatan sengaja mahu menjatuhkan diri dalam kotak penalti.

Selepas itu, saingan lebih seimbang dengan Atletico mempunyai dua peluang terbaik tetapi disia-siakan.

Atletico terus mengasak dan ketika Juventus cuba bermain selamat, Gimenez membuka jaringan dan tidak lama selepas itu Godin menambah jaringan untuk memberikan kelebihan memberangsangkan menjelang perlawanan kedua di Itali. — AFP

Advertisement