Anda di sini

Garam gunung Krayan cecah RM18 sekilo di Malaysia

Advertisement
 Nofolde menunjukkan garam yang sudah siap diproses dan sedia untuk dijual.
KE PASARAN: Nofolde menunjukkan garam yang sudah siap diproses dan sedia untuk dijual.

PENDUDUK Krayan terkenal dengan kerajinan dalam melakukan pekerjaan untuk menambah sumber pendapatan.

Selain menanam padi adan dan menternak kerbau, penduduk Krayan memproses garam untuk dijual di negara jiran.

Di sini, garamnya diperbuat dengan mengambil dan merebus air bawah tanah yang mengalir daripada gunung. Justeru tiada istilah ‘garam di laut asam di gunung dalam periuk bertemu juga’, sebaliknya ‘garam di gunung asam di gunung’, tidak aneh bertemu dalam periuk.

Terdapat kira-kira 33 mata air garam di seluruh Krayan, satu daripada yang aktif memproses garam gunung ialah di Pondok Pengolahan Garam Gunung Pa’ Nado di Long Midang di Kalimantan Utara bersempadan dengan Ba’ Kelalan.

 Nofolde sedang merebus air masin untuk dijadikan garam.
TELITI: Nofolde sedang merebus air masin untuk dijadikan garam.

Garam gunung atau ‘tucu’ dalam kalangan masyarakat tempatan ini bukan hanya digemari penduduk Krayan malah menjadi kegemaran orang Malaysia dan Brunei.

Difahamkan, garam gunung di Krayan berasal daripada air laut di dalam tanah selama berjuta-juta tahun lalu semasa dataran tinggi itu masih ditutupi laut.

Pengusaha garam gunung Nofolde Martinus berkata, kaedah pemprosesan garam gunung di situ mudah dengan hanya menimba air masin dari perigi bawah tanah.

Katanya, air itu kemudian dimasak dalam tong drum yang dibelah dua dan diletakkan di atas tungku batu besar.

 Sara sedang menjual garam gunung kepada pelawat yang datang ke Long Midang.
LARIS: Sara sedang menjual garam gunung kepada pelawat yang datang ke Long Midang.

“Terdapat tiga drum di sini, dua daripadanya untuk memasak dan satu lagi untuk menyimpan air masin. Proses memasak dan menguapkan air masin itu sehingga tinggal kristal-kristal garam mengambil masa 24 jam.

“Selepas itu, mendapan garam yang masih basah itu akan dijemur. Pemprosesan garam gunung ini dilakukan secara bergilir-gilir oleh ahli keluarga terdiri daripada tiga hingga empat orang,” kata Nofolde ketika ditemui Utusan Borneo di Pondok Pengolahan Garam Gunung Pa’ Nado di Long Midang, Krayan Kalimantan Utara.

Sekali-sekala Nofolde mengambil penapis untuk membuang buih-buih air dan sisa-sisa air garam yang kelihatan terapung di permukaan rebusan.

Katanya, warna garam yang dihasilkan bergantung dengan kejernihan air masin yang ditimba daripada perigi bawah tanah.

 Sara menjemur garam yang sudah dimasak.
BIAR KERING: Sara menjemur garam yang sudah dimasak.

Walaupun rasanya tidak jauh beza dengan garam laut, namun kaedah pemprosesan dan sumber air menjadikan garam gunung ini unik dan mendapat sambutan dalam  kalangan pembeli.

Sara, seorang lagi ahli keluarga berkata, mereka menggunakan kayu keras dikenali sebagai kayu malaban, untuk merebus air masin kerana ia tahan lama berbanding kayu biasa.

Katanya, mendapan garam yang masih basah kemudian akan dijemur dua hingga tiga jam bergantung dengan keadaan cuaca, dan selepas itu dibungkus menggunakan daun atau disimpan dalam plastik.

Sara menambah, setiap ahli keluarga memainkan peranan masing-masing, ada yang mengambil kayu, menjaga api dan menjemur garam.

“Setiap bulan kami berupaya memproses hampir 50kg garam gunung yang dijual dengan harga antara RM15 hingga RM18 sekilo bergantung dengan tukaran mata wang,” kata Sara sambil menambah garam gunung mendapat sambutan baik di Malaysia dan Brunei.

Bagi penduduk Krayan, mereka sudah lama memanfaatkan hubungan baik dengan rakyat Malaysia kerana lebih mudah memasarkan produk seperti beras, kerbau dan garam gunung ke sana berbanding negara mereka sendiri, Indonesia.

  • oleh
  • Advertisement