Anda di sini

Gagal manfaatkan kelebihan laman sendiri

Advertisement
 Pasukan Sarawak yang menentang PKNP FC cuba mendapatkan gol pada aksi Piala Presiden, petang semalam. Perlawanan berkesudahan Sarawak tewas 2-0.
SENGIT: Pasukan Sarawak yang menentang PKNP FC cuba mendapatkan gol pada aksi Piala Presiden, petang semalam. Perlawanan berkesudahan Sarawak tewas 2-0.

MIRI: Skuad Piala Presiden Sarawak gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri selepas tewas 2-0 kepada PKNP FC, petang semalam.

Gol pasukan pelawat dijaringkan oleh penyerangnya, Muhamad Iskandar Noorisam pada minit ke-36 gara-gara kesilapan pemain barisan pertahanan.

Tersentak dengan gol itu, Sarawak cuba bangkit mencari gol penyamaan apabila diberikan sepakan penalti pada minit ke-42, namun ia gagal disempurnakan pasukan tuan rumah.

Perlawanan yang disaksikan hampir 500 penonton itu bagaimanapun lebih menyaksikan pasukan pelawat menguasai perlawanan serta mengasak benteng pertahanan Sarawak pada separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Sarawak terus menggandakan usaha untuk menjaringkan gol, namun usaha itu menemui jalan buntu apabila Muhamad Hakimi Mat Isa menambah derita tuan rumah menerusi gol kedua pada minit ke-60.

Ketua Jurulatih Sarawak Abdul Jalil Ramli bagaimanapun tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan anak buahnya.

Abdul Jalil menyifatkan kekalahan itu berpunca daripada kesilapan benteng pertahanan dan akan memperbaiki kelemahan itu menjelang perlawanan seterusnya menentang PDRM, 25 Februari ini di Kuala Lumpur.

“Keseluruhannya, saya tidak berpuas hati pada perlawanan kali ini kerana pemain tidak dapat bermain mengikut apa yang kita rancang walaupun ada satu dua gerakan yang menarik.

“Tetapi apa yang berlaku, dua gol dijaringkan (oleh PKNP FC) adalah kesilapan kita sendiri, kalau kita dapat memperbaiki dalam perlawanan seterusnya, saya percaya ini adalah satu pengajaran yang baik kepada pemain-pemain kita,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perlawanan semalam.

Sementara itu, Ketua Jurulatih PKNP FC Rafae Isa menyifatkan Sarawak bukannya pasukan yang calang-calang untuk dikalahkan, namun bersyukur rezeki menyebelahi pasukannya.

“Secara keseluruhannya pemain memang ikut perancangan yang kita buat, persembahan juga sangat bagus dan Sarawak bukannya satu pasukan yang calang-calang.

“Kita ‘target’ sekurang-kurangnya satu mata, alhamdulillah rezeki kita dapat dua mata untuk perlawanan pembukaan ini,” ujarnya.

Hadir sama menyaksikan perlawanan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting, ADUN Telang Usan Dennis Ngau dan Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni.

  • oleh
  • Advertisement