Anda di sini

Cari formula komprehensif manfaat dana RM1b bagi sekolah di Sarawak: Rolland

Advertisement
ROLAND
ROLAND

MIRI: Kedua-dua Menteri Pendidikan, masing-masingnya di peringkat pusat (Dr Maszlee Malik) dan negeri (Dato Sri Michael Manyin Jawong) perlu tampil dengan formula komprehensif, bagi memanfaatkan sepenuhnya dana RM1 bilion untuk keperluan sekolah-sekolah di Sarawak.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Baram turut menyarankan agar wang tersebut tidak hanya terhad untuk kerja membaik pulih sekolah-sekolah daif di seluruh negeri, tetapi juga untuk memulihkan keadaan sekolah di pedalaman yang kekurangan murid.

“Untuk menjadikan kosnya lebih efektif, maka dana RM1 bilion tersebut boleh diagihkan untuk membina sekolah baharu di kampung yang mempunyai jumlah kanak-kanak yang ramai,” kata Ketua PKR Cabang Baram Roland Engan.

Katanya, sekolah-sekolah yang mempunyai murid yang kurang perlu melalui proses pemulihan yang lebih komprehensif, melangkaui pemulihan fizikal sekolah, memulihkan keadaan terutama sosioekonomi kampung, sistem komunikasi dan sebagainya  untuk mengurangkan migrasi penduduk pedalaman ke kawasan bandar.

Roland memberitahu demikian sebagai mengulas langkah kabinet bersetuju dan meluluskan hutang RM1 bilion Kerajaan Sarawak dengan kerajaan persekutuan digunakan untuk membaik pulih sekolah-sekolah daif di negeri ini.

Maszlee dalam kenyataannya pada Rabu berkata, keputusan itu susulan persetujuan di antara beliau dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika lawatannya ke Kuching pada 19 Februari lalu.

Menurut kenyataan itu, kelulusan berkenaan akan memberi manfaat kepada 436,000 murid di Sarawak.

“Kabinet juga telah bersetuju agar projek ini dipantau rapi untuk memastikan wang RM1 bilion yang akan digunakan nanti benar-benar digunakan secara efisien dan memberi manfaat kepada semua anak murid dan warga guru di sekolah yang terbabit,” kata Maszlee.

Beliau berkata, jawatankuasa khas yang akan dianggotai Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan serta Kerajaan Sarawak akan ditubuhkan untuk memastikan tadbir urus bersih dan proses telus dapat dilaksanakan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sarawak yang akan ditugaskan sebagai agensi pelaksana.

Roland berkata, PKR Baram sangat mengalu-alukan tindakan matang Menteri Pendidikan itu yang mewakili kerajaan persekutuan dan Ketua Menteri Sarawak dalam menyelesaikan isu berkenaan yang memberi manfaat kepada para pelajar dan guru di negeri ini.

“PKR Baram juga menyarankan agar Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bekerjasama rapat dengan masyarakat, institusi agama, jabatan kerajaan dan semua pihak untuk menjadikan sekolah sebagai pusat pembelajaran dan perkembangan murid yang kondusif untuk semua,” ujarnya.

Roland juga menyarankan agar setiap bahan rujukan dan bacaan, kemudahan komputer dan sebagainya disediakan untuk sekolah di pedalaman, setanding dengan kemudahan di sekolah-sekolah di bandar.

“Ini penting kerana ia adalah asas kepada keadilan pendidikan, terutama pada zaman teknologi digital pada hari ini,” tambah Roland lagi.

Advertisement