Anda di sini

Vettel anggap Leclerc sebagai ‘pesaing utama’

Advertisement
VETTEL
VETTEL
LECLERC
LECLERC

MONTMELÓ, Sepanyol: Sebastian Vettel berkata Selasa lepas di mana beliau menganggap rakan sepasukan baharunya di Ferrari, Charles Leclerc sebagai ‘pesaing utama’ ketika jaguh dari Jerman itu membuat persediaan untuk memburu kejuaraan dunia Formula Satu (F1) buat kali kelima tahun ini.

Leclerc mencatatkan masa terpantas pada hari kedua sesi uji pandu pramusim di Barcelona, merekodkan 0.1 saat menghampiri catatan terpantas Vettel sehari sebelum itu.

Vettel memulakan musim kelima bersama Ferrari sejak meninggalkan Red Bull pada 2014 dengan menamatkan saingan di tempat kedua kepada Lewis Hamilton pada dua tahun terakhir.

Leclerc, 21, menggantikan Kimi Raikkonen di Ferrari selepas mengumpul 10 mata pada musim pertama F1 bersama pasukan Sauber tahun lepas.

“Sudah tentu beliau (Leclerc) adalah pesaing utama,” kata Vettel. “Saya fikir beliau dipilih (ke dalam pasukan) kerana satu sebab dan saya harus melihat ia dengan sangat serius.

“Tetapi saya fikir anda sentiasa mempunyai saingan sengit dengan rakan sepasukan anda dan keutamaan utama ialah untuk membawa pasukan ke hadapan.

“Saya sudah mempunyai lebih banyak pengalaman berbanding beliau, jadi ia adalah sesuatu yang mungkin berbeza untuk mempunyai saingan sebegini awal. Saya pasti beliau cukup pantas dan memberikan tekanan kepada saya, jadi kita akan lihat nanti.”

Vettel memulakan musim 2018 dengan memberangsangkan sebelum beberapa kesilapan individu dan taktik pasukan menyebabkan beliau sekali lagi tewas kepada Hamilton.

Tetapi beliau tetap yakin Ferrari boleh memenangi kejuaraan dunia kategori pemandu yang pertama sejak Raikkonen memenanginya pad 2007.

“Sememangnya kami mempunyai tahun-tahun yang lebih bagus,” kata Vettel, yang memenangi empat kejuaraan dunia berturut-turut bersama Red Bull dari 2010 hingga 2013.

“Tetapi keseluruhannya adalah tentang perkembangan pasukan di sini. Jadi saya berharap tahun ini kami akan berasa lebih gembira. Ia menarik apabila menang dan kemudian anda dapat bersaing untuk kejuaraan dunia.”

Musim F1 2019 akan bermula di Grand Prix Australia pada 17 Mac di Melbourne. — AFP

Advertisement