Anda di sini

Valverde nafi jentera serangan Barcelona ‘tumpul’

Advertisement
 Penjaga gol Lyon, Anthony Lopes (kiri) bertindak tangkas menghalang bola rembatan Messi daripada menerjah jaring ketika beraksi pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara di Stadium Groupama, Decines-Charpieu Selasa lepas. — Gambar AFP
KEBAL: Penjaga gol Lyon, Anthony Lopes (kiri) bertindak tangkas menghalang bola rembatan Messi daripada menerjah jaring ketika beraksi pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara di Stadium Groupama, Decines-Charpieu Selasa lepas. — Gambar AFP

LYON, Perancis: Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde menafikan pasukannya bergelut di hadapan pintu gol lawan selepas diikat tanpa jaringan di Lyon pada perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara Selasa lepas.

Kelab juara La Liga Sepanyol itu mempunyai peluang yang lebih baik di Stadium Groupama dengan rembatan Luis Suarez sedikit tersasar dalam separuh masa kedua, walaupun Lyon juga hampir menjaringkan gol apabila rembatan Martin Terrier terkena palang.

Lionel Messi dan rakan-rakannya, sekali lagi dikecewakan di gelanggang lawan pada kejohanan ini dan sekarang sudah mengharungi enam perlawanan di gelanggang lawan tanpa menang di pusingan kalah mati kejohanan ini selain menjaringkan hanya satu gol dalam tempoh itu. Rekod itu adalah dari tiga tahun yang lalu.

Terdesak untuk menamatkan penguasaan Real Madrid di Eropah, Barca sekarang harus menamatkan tugas mereka pada perlawanan kedua di Nou Camp, 13 Mac depan tetapi Lyon masih kelihatan mempunyai peluang.

Prestasi Barca bagaimanapun perlu diperbaiki di antara sekarang dan 13 Mac depan – kerana mereka sudah seri empat dari lima perlawanan terakhir dalam semua pertandingan dan menjaringkan hanya satu gol – dari tendangan penalti – pada tiga perlawanan terakhir.

“Kami beraksi dengan baik tetapi anda harus menjaringkan gol dan ia tidak dapat kami lakukan,” kata Valverde.

“Kami bagaimanapun di landasan yang betul dan saingan masih terbuka. Kami akan cuba untuk menang di hadapan penyokong sendiri.”

Beliau menambah: “Saya tidak gembira dengan keputusan tetapi saya gembira dengan prestasi dan peluang yang kami cipta.

“Kami tidak menjaringkan gol tetapi ia lumrah. Ia bukan mudah untuk menang di gelanggang lawan dalam Liga Juara-Juara.”

Barca – yang bermula dengan Sergio Roberto di bahagian tengah berbanding Philippe Coutinho – mempunyai sebab yang baik untuk berwaspada dengan Lyon, yang beraksi cemerlang pada perlawanan penting musim ini.

Lyon, yang dibimbing Bruno Genesio, sudah mengutip empat dari kemungkinan enam mata apabila menentang Manchester City di pusingan pertama dan juga menewaskan Paris Saint Germain (PSG) di tempat sendiri dalam aksi Ligue 1 Perancis baru-baru ini.

Mereka masih belum tewas di Eropah musim ini walaupun ia adalah keputusan seri yang keenam berturut-turut.

“Ia satu keputusan memuaskan kerana ia memberikan kami satu peluang pada perlawanan kedua dan juga kami tidak bolos sebarang gol. Jika kami boleh menjaringkan gol di Nou Camp, kami akan mempunyai peluang untuk meneruskan kemaraan,” kata Genesio.

Beliau mengakui berharap untuk aksi yang lebih baik tetapi Lyon ternyata merasai ketiadaan kapten pasukan, Nabil Fekir kerana penggantungan.

Keputusan seri juga memastikan Lyon melanjutkan tempoh tanpa kalah kepada tujuh perlawanan. — AFP

Advertisement