Anda di sini

Shopee, FPX bekerjasama tingkatkan kemahiran peniaga dalam talian

Advertisement

KUALA LUMPUR: Shopee Malaysia, menerusi Shopee University, bekerjasama dengan penyelesaian pembayaran dalam talian FPX untuk meningkatkan kemahiran peniaga dalam talian untuk membolehkan mereka menjual secara lebih berkesan di platform Shopee.

Ketua Bahagian Operasi Shopee Esten Mok berkata menerusi kerjasama itu, 10 video tutorial akan disediakan untuk membantu pemilik perniagaan mengoptimum dan meningkatkan kemahiran mereka di Shopee.

“Inisiatif seumpama ini adalah sejajar dengan strategi jangka panjang jenama kami untuk memperkasa lebih ramai rakyat Malaysia memanfaatkan aliran e-dagang yang berkembang pesat.

“Ini termasuk menambah baik taraf hidup golongan B40 (40 peratus kumpulan isi rumah berpendapatan rendah) dengan menggalakkan mereka mempunyai pelbagai sumber pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis memeterai kerjasama itu di sini semalam.

Dilancarkan pada 2016, Shopee University merupakan bengkel khusus untuk mereka yang berminat mempelajari cara untuk memulakan penjualan di platform perdagangan mudah alih dan menguasai kaedah penjualan di Shopee.

Mok berkata tutorial dalam talian itu merangkumi pelbagai tajuk, termasuk cara untuk bertapak di Shopee, panduan langkah demi langkah untuk memudahkan pembayaran di FPX dan kaedah mengoptimumkan fungsi Shopee dan memaksimumkan pemasaran dalam talian. — Bernama

Advertisement