Anda di sini

Sarawak hantar sembilan petinju ke kejohanan muaythai di Selangor

Advertisement
 Ahmad Rodzli (empat kiri) bersama Ali (tiga kiri), jurulatih dan petinju semasa majlis penyerahan bendera di lobi Stadium Sarawak, Petra Jaya semalam.
KIBAR CABARAN: Ahmad Rodzli (empat kiri) bersama Ali (tiga kiri), jurulatih dan petinju semasa majlis penyerahan bendera di lobi Stadium Sarawak, Petra Jaya semalam.

KUCHING: Sarawak akan menghantar sembilan petinju untuk menyertai Kejohanan Muaythai Antara Sekolah-Sekolah dan Remaja Peringkat Kebangsaan 2019 yang akan diadakan di South City Plaza, Sri Kembangan, Selangor dari 21 hingga 24 Februari ini.

Daripada jumlah itu, dua peserta akan bertanding dalam kategori remaja iaitu Abang Muhd Uqail Abang Mustapa dan Morris Hii.

Manakala, tujuh peserta yang bertanding dalam kategori sekolah ialah Maurien Hii (SMK Chung Hua Miri), Johan Ghazali (SMK St Thomas Kuching Sarawak), Mikail Ghazali (SK St Thomas Kuching Sarawak), Pirdaus Mood (SMK Sadong Jaya), Ayu Adyqa Azmi (Sekolah Kolej Vokasional Matang), Syarif Nukman Norman (SMK Tun Abang Haji Openg) dan Rahman Abdullah (Sekolah Menengah Teknik Sejingkat Kuching).

Semalam, berlangsung majlis penyerahan bendera kontinjen Sarawak bertempat di lobi Stadium Sarawak, Petra Jaya yang disempurnakan oleh Pengurus Bahagian Pembangunan Sukan Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) Ahmad Rodzli Hashim.

Manakala, Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) diwakili Penolong Pengurus Ali Mos.

“Kita tidak meletakkan sebarang sasaran spesifik kerana penyertaan kita lebih kepada memberi pendedahan kepada atlet-atlet muda ini.

“Apa yang penting, atlet kita bertarung dengan semangat yang tinggi dan memberikan persembahan terbaik semasa kejohanan itu.

“Saya percaya jika atlet mampu beraksi dengan baik, mereka dapat menyumbang pingat untuk Sarawak,” kata Ahmad Rodzli.

Katanya, penyertaan Sarawak pada kejohanan itu juga bertujuan menggilap bakat-bakat baharu sebagai persiapan awal menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 di Johor.

Advertisement