Anda di sini

Pelanggan sesb terima rebat 2.5% ke atas wang cagaran

Advertisement

KOTA KINABALU: Pengguna elektrik yang berdaftar dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di seluruh negeri dan Labuan akan menikmati rebat sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah wang cagaran tunai mereka yang dikira mengikut kadar prorata.

Pengurus Besar (Komunikasi Korporat) SESB, Chendramata Sinteh berkata, pemulangan rebat berjumlah RM7.7 juta itu akan dikreditkan terus ke dalam akaun bil elektrik pengguna bulan ini.

“Wang cagaran elektrik ini dikenakan sebagai sekuriti kepada kerosakan atau untuk menjelaskan hutang tertunggak apabila pengguna menamatkan kontrak bekalan selaras dengan peraturan 5(5) Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 1990,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata wang cagaran dikira bersamaan dua bulan penggunaan bil elektrik berdasarkan purata bagi enam bulan terakhir dan akan disemak setiap enam bulan.

Chendramata berkata penambahan wang cagaran hanya akan dikenakan sekiranya terdapat peningkatan penggunaan berbanding wang cagaran sedia ada.

Bagaimanapun, jika purata penggunaan kurang daripada wang cagaran, maka ia boleh dipulangkan kepada pengguna atas permintaan pengguna melalui rebat kepada bil elektrik mereka, katanya.

Pengguna boleh mendapatkan keterangan lanjut dengan mengunjungi cawangan SESB berdekatan atau menghubungi talian perkhidmatan pelanggan 15454 atau 088-515000. — Bernama

Advertisement