Anda di sini

KTS tubuh FRS di Hutan Simpan Segaliud Lokan

Advertisement
KENNY (tiga kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada salah seorang wakil agensi yang menyertai seminar berkenaan.
KENNY (tiga kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada salah seorang wakil agensi yang menyertai seminar berkenaan.

KOTA KINABALU: KTS Plantation Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah akan menubuhkan Stesen Penyelidikan Lapangan (FRS) di Hutan Simpan Segaliud Lokan, Sandakan pada suku ketiga tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan KTS Datuk Henry Lau Lee Kong berkata, penubuhan FRS adalah sebagai pengiktirafan kepentingan sains dalam pengurusan perhutanan di negeri ini.

"Stesen ini nanti akan menyediakan platform untuk penyelidik perhutanan memberi sumbangan kepada industri melalui usahasama dalam penyelidikan serta pembangunan.

"Usaha ini akan memastikan amalan penambahbaikan akan diamalkan secara berterusan mengikut prinsip pengurusan hutan secara mampan.

"Sudah tentu keutamaan akan diberikan kepada penyelidik serta ilmuan tempatan seperti yang disarankan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Haji Apdal," katanya pada Seminar Ekspedisi Kawasan Pemulihan Sungai Rawong di sebuah hotel di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengarah KTS Holding Sdn Bhd Kenny Law Hui Kong.

Seramai 200 orang dari lebih 17 agensi menyertai seminar berkenaan yang dirasmikan oleh Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Mashor Mohd Jaini.

Seminar itu adalah anjuran bersama oleh KTS Plantation, Jabatan Perhutanan Sabah, Universiti Malaysia Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Taman-Taman Sabah, WWF dan agensi lain di negeri ini.

Sementara itu, Mashor ketika ditemui memuji usaha murni KTS yang berhasrat mewujudkan stesen pertama di negeri ini.

"Usaha membina stesen ini bukanlah perkara yang mudah dan ia memerlukan persiapan rapi terutama melibatkan infrastruktur dan fasiliti yang lengkap.

"Jadi, kita mengharapkan usaha ini akan mendapat sokongan dan kerjasama penuh daripada kerajaan serta pihak lain yang berkaitan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan semua pihak berkepentingan di luar sana untuk sama-sama berkolaborasi dalam usaha memulihara hutan di negeri ini.

Katanya, ia penting dalam usaha meningkatkan pengurusan hutan yang lebih efisien mengikut prinsip pengurusan hutan lestari (SFM).

"Kita memerlukan rujukan berterusan bagi mengurus serta memulihara hutan di negeri ini secara teratur walaupun usaha ini bukan mudah dan mengambil tempoh yang lama.

MASHOR (dua kiri) sempat mendengar penjelasan daripada salah seorang peserta ekspedisi Sungai Rawong ketika beliau melawat pameran yang dibuka pada seminar itu.
MASHOR (dua kiri) sempat mendengar penjelasan daripada salah seorang peserta ekspedisi Sungai Rawong ketika beliau melawat pameran yang dibuka pada seminar itu.

"Namun, dengan adanya gabungan hasil penyelidikan dari pelbagai pihak berkaitan, sudah pasti penambahbaikan pengurusan perhutanan dapat dilakukan secara berterusan mengikut kesesuaian spesifik pengurusan hutan itu," katanya.

Terdahulu, dianggarkan sekitar RM500 ribu hingga RM1.5 juta diperlukan bagi pelaburan untuk menyiapkan pembinaan stesen penyelidikan berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement