Anda di sini

KPD diharap bangunkan Rundum dengan pertanian

Advertisement
JAMAWI mendengar penerangan daripada beberapa pegawai kanan KPD sempena pertemuan itu.
JAMAWI mendengar penerangan daripada beberapa pegawai kanan KPD sempena pertemuan itu.

TENOM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong Jamawi Jaafar berharap pihak Korporasi Pembangunan Desa (KPD) dapat memajukan secara usaha sama bidang pertanian khususnya di kawasan tanah tinggi Rundum Highlands.

Beliau berkata, kawasan itu amat sesuai diusahakan dengan aktiviti pertanian tanah tinggi apatah lagi dengan keadaan cuacanya yang sejuk yang dikatakan amat sesuai dengan tanaman kubis, asparagus, tomoto, cendawan Shiitake dan penternakan lebah madu.

"Saya harap pihak KPD akan melakukan kajian kesesuaian tanaman yang boleh diusahakan di kawasan ini dengan usahasama beberapa pihak yang lain termasuklah penduduk di kawasan ini," katanya selepas menerima kunjungan hormat Pengurus Besar KPD Sabah Kalimin Sahadi dan pegawai-pegawai kanan korporasi itu di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kemabong Burnley Balang.

Menurut Jamawi, KPD yang memiliki kepakaran dalam bidang pertanian sudah tentu dapat melakukan sesuatu tindakan bagi membantu memajukan sektor pertanian dan jika ia berjaya dilaksanakan, akan membantu kerajaan meningkatkan ekonomi negeri serta menjana taraf sosio ekonomi masyarakat setempat.

Selain itu, beliau juga melahirkan harapan agar KPD dapat memajukan tanah korporasi itu yang terbiar di Pekan Kemabong.

Terdahulu, Jamawi yang juga pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan turut menyaksikan majlis pelancaran produk-produk KPD di Bestamart Supermarket.

Advertisement