Anda di sini

Jeti baharu Pelabuhan Sandakan siap

Advertisement
SHAFIE menggunting tali di kontena pertama yang beroperasi di Jeti Baharu Pelabuhan Sandakan sebagai simbolik perasmian.
SHAFIE menggunting tali di kontena pertama yang beroperasi di Jeti Baharu Pelabuhan Sandakan sebagai simbolik perasmian.

SANDAKAN: Bandar Sandakan bakal menjadi pusat perdagangan dan pintu masuk pelancong asing di kawasan pantai timur Sabah selepas siapnya pembesaran dermaga di Pelabuhan Sandakan yang bernilai RM130 juta.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Kerajaan Negeri melangkah setapak lagi dalam usaha memajukan kembali Sandakan melalui sektor logistik yang bakal menjadi penyokong utama kepada kerancakan sektor perindustrian di pantai timur Sabah dalam sedikit masa lagi.

“Sandakan kini bersedia sepenuhnya menerima kemasukan lebih banyak kapal dagang besar serta kapal pelancong yang membawa pengunjung dari luar negara melawat bandar ini.

"Pembinaan pelabuhan ini membolehkan kita menampung keperluan yang meningkat di kawasan ini dari segi dagangan, bukan hanya dari negara jiran seperti Indonesia dan Filipina tetapi juga dari rantau ini seperti China serta Jepun.

"Kerajaan akan berusaha meningkatkan sektor perindustrian agar pelabuhan ini digunakan bukan sahaja untuk produk yang datang dari luar tetapi kita mahu ada juga produk tempatan untuk dipasarkan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Jeti Baharu Pelabuhan Sandakan di Pelabuhan Sandakan, pagi tadi.

Terdahulu, beliau melancarkan simbolik perasmian dermaga baharu itu yang disiapkan pembinaannya dalam tempoh 24 bulan, berukuran 495 meter panjang dan 65 meter lebar, dan kini boleh menampung enam kapal dagang dalam satu masa.

Shafie berkata, dalam membangunkan pantai timur termasuk Sandakan dan menambah peluang pekerjaan, antara usaha beliau adalah mewujudkan kembali industri pengeluaran produk berasaskan kayu di kawasan itu melalui pembukaan kilang-kilang papan.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan selain menggalakkan kilang-kilang besar melabur, kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan juga berusaha memastikan supaya bekalan kayu kepada kilang-kilang apabila beroperasi nanti mencukupi.

"Kita telah kenal pasti Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Sandakan yang dijadikan sebagai pusat perabot, yang sedang menyusun atur agar Yayasan Sabah serta Jabatan Perhutanan membantu menjayakan industri kayu-kayan ini.

"Di Kota Kinabalu contohnya, saya telah berbincang dengan kilang-kilang perabot besar seperti Superwood dan Borneo Wood agar bukan sahaja mengeluarkan produk untuk pasaran tempatan tetapi juga luar negara seperti ke Maldives dan Sri Lanka kerana manfaatnya nanti dapat dinikmati oleh Pelabuhan Sepanggar," katanya.

Mengulas lanjut berhubung memaksimumkan penggunaan Pelabuhan Sandakan, beliau berkata pihak berkuasa tempatan juga perlu meningkatkan lagi kualiti produk pelancongan di bandar ini untuk menjadi tarikan pengunjung.

Beliau berkata baru-baru ini sudah ada kapal pelancong datang membawa 500 orang ke pelabuhan itu, mereka melancong selama sehari dan berbelanja di bandar ini.

"Jadi, mereka boleh tinggal lebih daripada sehari tetapi saya beritahu supaya perbaiki produk pelancongan seperti di Sepilok, bukan sahaja Beruang Madu, anak gajah dan orang utan tetapi perbanyakkan lagi produk itu," katanya.

Berhubung perkara itu, Shafie telah meminta Menteri Pelancongan agar produk di Sepilok dinaik taraf untuk menarik pelancong datang ke pusat pelancongan utama itu.

  • oleh
  • Advertisement