Anda di sini

Dasar Belia Sabah dilancar

Advertisement
JAUJAN (tiga kiri) menerima buku Pelan Strategik Pembangunan Belia Sabah daripada Frankie.
JAUJAN (tiga kiri) menerima buku Pelan Strategik Pembangunan Belia Sabah daripada Frankie.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberikan jaminan bahawa Dasar Belia Sabah dan Pelan Strategik Pembangunan Belia Sabah 2016-2020 akan dijadikan panduan utama dalam melahirkan belia positif serta aktif.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, para belia itu adalah mereka yang terlibat dalam aktiviti persatuan belia seterusnya menjadi agen perubahan dalam komuniti.

"Saya berharap dasar ini bukan hanya retorik semata-mata, ia perlu diimplementasi, dilaksana serta digunakan oleh semua agensi kerajaan, swasta dan agensi yang berkaitan belia kerana belia adalah aset utama dalam pembangunan negeri dan negara.

"Pelaksanan Dasar Belia Sabah dan Pelan Strategik Pembangunan Belia Sabah juga merujuk kepada acuan Sabah yang meliputi 12 elemen penting iaitu kepimpinan, pendidikan, kemahiran dan pembangunan keusahawanan, kesukarelawanan, keyakinan, kesejahteraan komuniti belia, keunggulan personaliti, integriti, persekitaran, pengetahuan, kerohanian serta perpaduan.

"Kesemua elemen ini penting dalam memperkasa belia bagi melahirkan belia berwibawa dalam semua aspek. Kita mahu semua belia Sabah dilibatkan dalam proses kemenjadian belia perkasa sesuai dengan visi Kementerian Belia dan Sukan Sabah," katanya sempena pelancaran Dasar Belia Sabah dan Pelan Strategik Pembangunan Belia Sabah 2016-2020, di sini hari ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jaujan Sambakong.

Shafie berkata, selaras dengan Indeks Belia Sabah 2015, satu mekanisme perlu dilaksanakan bagi menjamin pembangunan belia dalam pelbagai aspek.

Katanya, bagi melaksanakan Pelan Strategik Pembangunan Belia Sabah 2016-2020, pada masa yang sama ia juga perlu melahirkan Dasar Belia Sabah yang menjadi satu polisi penting bagi Kerajaan Sabah dalam membantu membangunkan potensi belia dalam semua aspek serta menjadi rujukan penting bagi ‘policy maker’.

"Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2015, Sabah mempunyai 1.87 juta belia. Ini menunjukkan belia antara komposisi teramai di Sabah.

"Menurut Indeks Belia Sabah (IBS) 2015, skor yang diperolehi adalah sebanyak 68.68 menunjukkan belia Sabah berada di tahap sederhana berdasarkan kepada 12 domain dalam IBS iaitu bebas tingkah laku devian, kesihatan, hubungan sosial, keselamatan, pembangunan kendiri, identiti diri, potensi diri, penggunaan media, pendidikan, kesejahteraan ekonomi, waktu senggang dan sosialisasi politik," katanya.

Oleh itu, katanya, Pelan Strategik Pembangunan Belia Negeri Sabah dan Dasar Belia Sabah diwujudkan bagi meningkatkan lagi kesejahteraan belia di Sabah dan melahirkan belia sebagai peneraju utama serta pemangkin dalam pembangunan negeri Sabah.

Menurutnya, mekanisma itu adalah asas penting dalam memperkasa belia sebagai pemimpin negeri serta negara pada masa kini dan pada masa hadapan.

  • oleh
  • Advertisement