Anda di sini

Dadaku garuda, perutku Malaysia, mendekati kehidupan penduduk di Krayan

Advertisement
 Papan tanda sempadan Malaysia di Ba’ Kelalan dan Indonesia di Long Midang.
PERBATASAN: Papan tanda sempadan Malaysia di Ba’ Kelalan dan Indonesia di Long Midang.

Siri II

BENDERA merah putih yang berkibar megah di puncak Gunung Upai Semaring setinggi 1,103 meter dari paras laut, melambangkan betapa cinta dan setia warga Krayan terhadap kerajaan Indonesia.

Namun, hampir 100 peratus keperluan harian mereka bergantung dengan sumber dari Malaysia, yang didatangkan dari Ba’ Kelalan.

Statistik Pejabat Imigresen Malaysia di antara sempadan Ba’ Kelalan dan Long Midang, Indonesia mencatatkan, setiap bulan lebih 2,000 pelawat menggunakan Ba’ Kelalan sebagai pintu masuk utama ke Sarawak dan jumlah ini meningkat pada bulan Januari dan Disember.

Sebut sahaja - gula, kopi, biskut, tepung, sabun, ubat gigi, bateri, jala, simen, alat pancing, tong gas memasak, bahan bakar bahkan kenderaan pacuan empat roda (4WD) di jalan berdebu tanpa nombor pendaftaran, datang dari Malaysia. Jika ada pun nombor pendaftaran, ia menggunakan plat pendaftaran SAB dari Malaysia.

“Milo yang kamu minum, biskut yang kamu makan itu dari Lawas. Ungkapan dadaku garuda, perutku Malaysia memang fakta dari dulu sehingga sekarang, bukan itu dibuat-buat.

“Hidup kami bergantung dengan Ba’ Kelalan, bukan Jakarta nun jauh di sana,” kata Ketua Adat Forum Masyarakat Adat Dataran Tinggi Borneo (FORMADAT) Indonesia Lewi Gala semasa kami menikmati sarapan di rumahnya di Long Layu, Krayan Selatan, kira-kira empat jam perjalanan menggunakan pacuan empat roda dari Ba’ Kelalan.

LEWI
LEWI

Lewi menambah, walaupun kampung Long Layu berada di wilayah Indonesia namun lebih mudah memperolehi barang-barang tersebut dari Malaysia berbanding Indonesia.

Katanya, mereka tiada pilihan sebaliknya terpaksa membayar dengan harga yang berlipat ganda.

Sebagai contoh, di Long Bawan, tong gas memasak Petronas dijual dengan harga RM60 hingga RM65 setong. Manakala bahan bakar, harga tidak menentu sekitar RM3 hingga RM4.50 seliter.

 Kenderaan pacuan empat roda tanpa nombor pendaftaran di Long Bawan.
PENGANGKUTAN: Kenderaan pacuan empat roda tanpa nombor pendaftaran di Long Bawan.

Katanya, sebelum jalan dari Long Bawan tembus di Long Layu, usaha membawa makanan dan keperluan harian ke kampung itu amat sukar.

Mereka terpaksa menggunakan motosikal melalui jalan tikus ke Long Bawan yang mengambil masa tiga jam perjalanan.

Kini penduduk boleh ke Long Bawan menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang mengambil masa perjalanan kira-kira 2 jam setengah hingga lima jam bergantung kepada keadaan cuaca.

“Sekiranya musim hujan, kami tidak dapat menggunakan jalan kerana permukaan becak dan rosak teruk. Jalan yang licin dan bertakung air setiap kali musim hujan menyukarkan penduduk di sini.

“Alternatif lain ialah menggunakan pesawat kecil yang mengambil masa 10 minit dari Long Bawan dengan tambang yang lebih murah. Namun pesawat ini hanya terhad untuk 12 penumpang dan melakukan penerbangan tiga kali seminggu,” kata Lewi.

Selain barangan keperluan didatangkan dari Malaysia, kegiatan ekonomi penduduk Krayan turut bergantung kepada Malaysia.

Antara sumber pendapatan penduduk Krayan ialah kerbau, beras adan dan garam gunung.

Katanya, hampir setiap keluarga di Long Layu memelihara kerbau untuk dijual di Brunei dan Malaysia dengan harga antara RM4,000 hingga RM5,000 seekor.

“Kerbau di sini banyak mendapat permintaan terutama dari Brunei.

 Salah satu kedai runcit yang menjual pelbagai keperluan harian, kebanyakan dari Malaysia.
DARI LUAR NEGARA: Salah satu kedai runcit yang menjual pelbagai keperluan harian, kebanyakan dari Malaysia.

Kami memelihara kerbau kerana itu sahaja cara untuk membiayai persekolahan anak-anak.

“Setiap tahun saya boleh menjual kira-kira 15 ekor kerbau ke Malaysia dan Brunei,” katanya yang turut memelihara ayam penelur dan menanam sayur-sayuran.

Katanya, belum banyak usaha yang dilakukan kerajaan untuk membantu menaikkan sumber pendapatan dan ekonomi penduduk di situ.

Lewi menambah, kerajaan hanya menyediakan kemudahan asas seperti kemudahan telekomunikasi dan solar, namun tidak semua kampung di Krayan Selatan menikmati kemudahan itu.

Menurut Lewi, penduduk Krayan Selatan amat komited menyekolahkan anak-anak dan setakat ini terdapat kira-kira 300 mahasiswa sedang mengikuti pengajian tinggi di Jogjakarta selain di Samarinda dan Jawa.

Namun, kejayaan menamatkan pengajian bukan satu jaminan mudah mendapatkan pekerjaan khususnya di sektor kerajaan.

Lewi turut melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan yang mengamalkan diskriminasi dalam pengambilan tenaga kerja.

“Amat menyedihkan kerana mereka mengutamakan orang yang lahir di bandar dan kaya, manakala anak-anak kami yang lahir di kawasan pedalaman seperti Krayan seperti dianaktirikan.

“Mungkin disebabkan Indonesia terlalu besar menyebabkan kerajaan tidak memberikan tumpuan kepada rakyat di sini,” kata Lewi.

Jelas Lewi, mereka tidak membenci kerana kesetiaan tetap selamanya kepada Indonesia, namun penduduk Krayan merindukan kerajaan untuk melihat kehidupan dan kesusahan di perbatasan.

  • oleh
  • Advertisement