Anda di sini

Buku panduan langkah persiapan PDRM hadapi ancaman dilancar

Advertisement
MOHD Fuzi (tengah) menyerahkan Buku Panduan Siasatan Jenayah CBRNE kepada salah seorang KBSJD dalam satu majlis di Sandakan.
MOHD Fuzi (tengah) menyerahkan Buku Panduan Siasatan Jenayah CBRNE kepada salah seorang KBSJD dalam satu majlis di Sandakan.

SANDAKAN: Buku Panduan Siasatan Jenayah melibatkan Agen Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan (CBRNE) yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini merupakan satu langkah persiapan jangka masa panjang dalam menghadapi kes seumpama.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, setakat ini PDRM pernah berdepan beberapa kes berkaitan CBRNE, tetapi dari segi persiapan dan pengalaman, siasatan seumpama belum sampai ke satu tahap yang memberangsangkan.

"Kita pernah berdepan dengan kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara di Lapangan Terbangsa Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selain kes kehilangan seunit projektor radiografi di Selangor.

"Walaupun ancaman ini di tahap minima dan terkawal, tetapi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan satu pasukan khas telah berjaya menghasilkan buku panduan siasatan ini dengan kerjasama beberapa pihak berkaitan.

"Ini sebagai satu langkah persiapan jangka masa panjang PDRM khususnya JSJ dalam berhadapan situasi ancaman berkaitan isu CBRNE yang mungkin kita jangka akan meningkat pada masa-masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Amanat Ketua Polis Negara sempena Penyerahan Buku Panduan Siasatan Jenayah CBRNE Kepada Semua KBSJD di Sandakan, di sini hari ini.

Menurut Mohd Fuzi, banyak negara maju telah mengambil langkah serupa dan pasukannya juga tidak mahu ketinggalan, sekali gus bagi memastikan kemampuan mereka sentiasa berada pada tahap tinggi untuk menghadapi ancaman CBRNE.

Hadir sama Timbalan Pengarah JSJ (Risikan/Operasi) Bukit Aman Dato' Huzir Moahmaed dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.

Pada majlis itu, turut diadakan Mesyuarat OCCI Semalaysia Bil1/2019 yang membincangkan mengenai siasatan, operasi, risikan dan cara bagaimana menurunkan kadar jenayah seluruh negara khususnya dalam persiapan strategik menghadapi tugas cabaran bagi tahun ini.

  • oleh
  • Advertisement