Anda di sini

Bayaran kontra formula bijak Ketua Menteri tangani isu sekolah daif di Sarawak 

Advertisement
Dr Annuar Rapaee
Dr Annuar Rapaee

KUCHING: Kaedah bayaran secara kontra yang diambil oleh Kerajaan Sarawak untuk menangani isu sekolah daif di negeri ini merupakan formula bijak oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. 

Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapaee berkata formula ini menjamin wang yang dibayar oleh Sarawak kembali semula sepenuhnya kepada Sarawak. 

“Kita mesti mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri kerana mencadangkan formula ini untuk menyelesaikan isu sekolah daif di Sarawak. 

“Kita ada kira-kira RM2.5 bilion hutang dengan Kerajaan Persekutuan dan kita gunakan kaedah kontra ke atas pinjaman yang perlu kita bayar untuk tujuan sekolah daif di negeri ini. 

“Ini merupakan formula Ketua Menteri yang sangat berjaya dan kita berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana menerima formula ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.  

Tambah Dr Annuar, jika Ketua Menteri tidak mencadangkan formula ini dan terus membayar pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan, bayaran tersebut berkemungkinan tidak akan kembali semula kepada negeri ini.  

“Kerajaan Persekutuan juga memandang serius isu sekolah daif ini dan Kerajaan Negeri sedia untuk bekerja serapat yang mungkin dengan Kerajaan Persekutuan dalam isu ini. 

“Jadi dalam kata lain, apabila formula ini dipersetujui kedua-dua pihak sebenarnya dalam situasi menang-menang. 

“Kerajaan Persekutuan dapat selesaikan isu sekolah daif di Sarawak dan begitu juga dengan Kerajaan Sarawak. 

“Tetapi  pemenang lebih penting sudah pasti murid-murid di seluruh negeri ini seramai 436,000 orang,” ujarnya. 

Sehubungan itu, Dr Annuar mengesa semua pihak berhenti bertelagah mengenai isu sekolah daif dan mula bekerja serta memastikan peruntukan ini digunakan untuk para murid sekolah. 

Dari segi pemilihan sekolah pula katanya, keutamaan akan diberikan kepada sekolah yang terjejas akibat banjir, sekolah kurang murid dan digabungkan dan sekolah daif. 

Rabu lepas, Kabinet Persekutuan bersetuju hutang RM1 bilion dari Kerajaan Sarawak digunakan untuk tangani isu sekolah daif di negeri ini. 

Keputusan tersebut susulan persetujuan antara Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dengan Ketua Menteri ketika lawatannya ke Kuching, Selasa lepas. 

Bagi memastikan wang RM1 bilion ini digunakan dengan secara efisien, sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kewangan serta Kerajaan Sarawak juga ditubuhkan. 

Di peringkat pelaksanaan pula, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan ditugaskan sebagai agensi pelaksana. 

  • oleh
  • Advertisement