Anda di sini

200 dijangka sertai Kejohanan Karate Senior Sabah Ke-42

Advertisement
JULIAN CHIN
JULIAN CHIN

KOTA KINABALU: Kira-kira 200 peserta dijangka menyertai Kejohanan Karate Senior Sabah Ke-42 2019.

Kejohanan tahunan itu akan berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kota Kinabalu (KSKK) pada 3 Mac.

Setiausaha Persatuan Karate Sabah (SKA) Julian Chin berkata, semua anggota gabungan persatuan telah dijemput menyertai kejohanan itu.

"Kami berharap mereka akan menghantar karatekas terbaik kerana kejohanan ini juga medan untuk memilih karatekas ke Kejohanan Karate Senior Terbuka MAKAF Ke-39 di Selangor bulan depan.

"Kejohanan kebangsaan itu akan berlangsung di Stadium MPSJ Serdang pada 20-24 Mac. Kali ini, kita harap akan terus menjadi pencabar utama," kata Julian ketika dihubungi di sini hari ini.

Tahun lalu, Sabah menang tiga pingat emas, dua perak dan tujuh gangsa untuk muncul pemenang ketiga keseluruhan di bawah Persekutuan Karate Hayashi Haa Malaysia selaku juara dan Persekutuan Karate Pulau Pinang di tempat kedua.

Pingat emas disumbangkan pemenang pingat perak Sukan Sea 2017 Kuala Lumpur, Pressy Misty Philip, Audrey Japyus dan Mohd Azreen Awang Hashim.

Julian berkata, kejohanan peringkat negeri itu juga akan menjadi ujian buat Sabah yang akan menjadi tuan rumah Kejohanan Karate Kadet, Junior dan Bawah 21 Tahun Asia pada April depan.

  • oleh
  • Advertisement