Anda di sini

Wirajaya teruskan aktiviti persahabatan

Advertisement
GAPAR Munap (kanan) bertukar-tukar cenderakenangan bersama Abdullah (dua kiri) sambil diperhatikan oleh Ag.Damit @ Buchu (kanan).
GAPAR Munap (kanan) bertukar-tukar cenderakenangan bersama Abdullah (dua kiri) sambil diperhatikan oleh Ag.Damit @ Buchu (kanan).

PAPAR: Kelab Tangkis Wirajaya meneruskan aktivitinya dengan mengadakan perlawanan badminton persahabatan bersama Kelab Seroja dari daerah Beaufort yang diketuai oleh Abdullah Duraman yang juga Presiden Seroja di Dewan Masyarakat Papar baru-baru ini.

Hadir sama menjayakan program ialah Timbalan Presiden Persatuan Badminton Papar Gapar Munap, jurulatih Seroja Johanizam James @ Boy, dan Pengerusi Teknikal SBA Ag.Damit @ Buchu yang juga Setiausaha Wirajaya.

Berucap di majlis itu Gapar berkata, perlawanan persahabatan ini sebagai mengeratkan lagi hubungan silaturahim di kalangan pemain bagi kedua-dua pasukan selain dapat beramah-mesra dan bertukar-tukar fikiran antara satu sama lain.

Katanya, program sebegini secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi hubungan persahabatan antara kedua-dua daerah selain membudayakan hidup sihat menerusi sukan.

Dalam pada itu Abdullah ketika ditemui berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Katanya, ianya mampu menarik minat khususnya golongan veteran untuk terus bermain badminton dalam menjana warga veteran yang sentiasa sihat sepanjang masa.

"Kalah dan menang bukanlah ukuran, namun natijahnya ikatan ukhuwah bagi kedua-dua pasukan dan masyarakat setempat dapat direalisasikan melalui program seumpama ini," tegasnya.

Di akhir perlawanan Abdullah Duraman dinobatkan selaku Pemain Masih Berbisa, Joko Jaffar dari Kelab Wirajaya dianugerahkan sebagai Pemain Paling Veteran dan Mungan sebagai Pemain Serbaboleh dalam perlawanan pada malam tersebut.

Advertisement