Anda di sini

Skuad muda Tambadau Sabah tewas

Advertisement
KESEBELASAN utama skuad muda Tambadau Sabah menetang JDT IV di Johor petang tadi.
KESEBELASAN utama skuad muda Tambadau Sabah menetang JDT IV di Johor petang tadi.

KOTA KINABALU: Skuad bawah 19 tahun Tambadau Sabah bermula dengan kekalahan dalam saingan Kumpulan B Piala Belia apabila tumpas 1-3 di tangan Johor Darul Ta'zim IV (JDT IV) di Mini Stadium Kulai, Johor, petang tadi.

Skuad kendalian Billyton Vun Kit Ming yang dibarisi majoriti pemain muka baru itu lebih awal membuka jaringan dan banyak menguasai permainan tetapi JDT IV mendedahkan bahawa ketajaman penyudahlah yang menentukan perlawanan.

Sabah mendahului 1-0 hasil jaringan pemain tengah, Radzee Eqmal Ramli seawal minit ketujuh tetapi pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan pada pertengahan babak pertama.

Selepas rehat, pasukan tuan rumah mematikan perlawanan itu dengan dua jaringan pantas dan skuad muda Tambadau Sabah terpaksa akur selepas gagal menterjemahkan beberapa peluang yang dicipta kepada jaringan.

Walaupun kecewa, Billyton bagaimanapun melihat ada aspek positif untuk skuad bimbingannya jadikan bekalan meneruskan perlawanan akan datang.

"Ada perkara positif yang ditunjukkan pasukan muda kita pada perlawanan ini di mana mereka dapat mengimplimentasikan apa yang dipraktikkan semasa latihan.

"Kami menguasai permainan dan mencipta banyak peluang tetapi gagal disudahkan dengan kecemerlangan penjaga gol lawan antara penghalang utama kita menjaringkan gol.

"Jika dapat mengekalkan persembahan ini dan dengan penambahbaikan dari segi penyudah, saya percaya kita akan meraih mata pada perlawanan akan datang," kata Billyton ketika dihubungi selepas perlawanan.

Skuad muda Tambadau Sabah itu akan meneruskan cabaran menentang Negeri Sembilan di Stadium Penampang, 24 Februari.

  • oleh
  • Advertisement