Anda di sini

Sarawak C dituntut pamer aksi terbaik

Advertisement
 Posa (tiga kiri) memberi kata-kata semangat kepada barisan pemain Skuad Belia Sarawak sambil disaksikan Pengurus Pasukan, Phillip Jabu (dua kiri), Mohd Safri (empat kiri) dan barisan jurulatih di Kuching semalam.
KATA-KATA SEMANGAT: Posa (tiga kiri) memberi kata-kata semangat kepada barisan pemain Skuad Belia Sarawak sambil disaksikan Pengurus Pasukan, Phillip Jabu (dua kiri), Mohd Safri (empat kiri) dan barisan jurulatih di Kuching semalam.

KUCHING: Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menuntut aksi terbaik daripada barisan pemain skuad Belia (Sarawak C) pada perlawanan pembuka tirai Piala Belia 2019 apabila melayan kunjungan Kedah di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini petang ini.

Menurutnya, perlawanan pertama sentiasa penting untuk dimenangi oleh mana-mana pasukan termasuk Sarawak sebagai penyuntik semangat dan moral pemain-pemain untuk mengharungi aksi seterusnya.

“Kita berkelebihan kerana bermain di tempat sendiri pada perlawanan pertama, justeru semua pemain perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang terbaik itu untuk mengutip tiga mata penuh.

“Berikan persembahan yang terbaik dan terjemahkan apa yang telah dicurahkan oleh barisan jurulatih sepanjang latihan dalam permainan esok (hari ini) untuk memastikan kemenangan memihak kepada pasukan kita,” katanya di sini semalam.

Posa turut mengingatkan semua pemain agar sentiasa mengekalkan disiplin sepanjang saingan liga Piala Belia musim ini.

Tegasnya, tanpa disiplin yang baik kalangan pemain ia tidak akan ke mana-mana walaupun mereka mempunyai bakat dan kemahiran masing-masing.

“Syabas kepada pengurusan Piala Belia musim ini yang begitu komited dalam mempersiap pasukan muda Sarawak musim ini walaupun berdepan pelbagai kekangan,” katanya ditemui di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini semalam untuk memberi sokongan moral kepada Pasukan Belia Sarawak.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Mohd Safri Amit mahu semua pemainnya memberikan fokus sepenuhnya dan bermain mengikut apa yang telah dirancang semasa latihan.

Katanya, pemain-pemain juga diingatkan agar tidak terlalu menghormati pasukan lawan dan harus mempamerkan persembahan terbaik untuk mengecewakan pasukan Hijau Kuning itu petang ini.

“Walaupun persiapan pasukan kita agak lewat, namun ia bukan alasan untuk pemain-pemain skuad Piala Belia tidak boleh beraksi dengan baik.

“Saya percaya semua pemain sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan esok (hari ini),” katanya.

Beliau juga menyeru penyokong penyokong setia pasukan bola sepak tempatan datang beramai-ramai ke Stadium Negeri, Petra Jaya Kuching petang ini bagi memberikan sokongan padu kepada barisan muda skuad Sarawak.

Perlawanan kedua-dua pasukan akan bermula jam 4.15 petang ini.

  • oleh
  • Advertisement