Anda di sini

Presiden Brazil pecat pembantu kanan

Advertisement
 Gambar fail 11 Oktober tahun lepas menunjukkan Bolsonaro (kiri) ditemani Bebianno ketika sidang akhbar di Rio de Janeiro, Brazil. — Gambar AFP
TIDAK SEHALUAN: Gambar fail 11 Oktober tahun lepas menunjukkan Bolsonaro (kiri) ditemani Bebianno ketika sidang akhbar di Rio de Janeiro, Brazil. — Gambar AFP

BRASILIA: Presiden Brazil Jair Bolsonaro kelmarin memecat seorang pembantu kanan yang membantunya sehingga berjaya dipilih selepas krisis berlaku dalam partinya berhubung pembiayaan kempen yang disyaki tidak wajar.

Dakwaan itu merupakan skandal terbaharu yang melanda parti presiden haluan kanan itu, yang menang pilihan raya dengan selesa pada Oktober lalu kerana janji untuk membanteras rasuah.

“Bolsonaro memutuskan untuk memecat pada hari ini Gustavo Bebianno sebagai menteri sekretariat umum di pejabat presiden,” kata jurucakap Otavio do Rego Barros pada sidang akhbar di Brasilia.

Jurucakap itu tidak menjelaskan sebab bagi pemecatan itu, dan hanya menyatakan ia adalah keputusan peribadi Bolsonaro.

Bolsonaro tidak menjelaskan lanjut dalam video yang dikeluarkan kemudian dan disiarkan media Brazil.

Beliau hanya berkata, pandangan yang berbeza mengenai isu relevan menimbulkan keperluan bagi penilaian semula.

Presiden menyedari Bebianno memainkan peranan penting dalam kempen pilihan rayanya.

“Usahanya penting kepada kejayaan kami,” kata Barros.

Pemecatan itu boleh memberi impak kepada kelulusan dalam dewan perundangan bagi satu rang undang-undang yang bakal dibentangkan Bolsonaro kepada Kongres pada minggu ini untuk memperbaharui sistem pencen Brazil yang tidak mampan.

Pembaharuan itu dianggap pelabur sebagai janji paling genting yang telah dibuat presiden untuk meningkatkan ekonomi terbesar di Amerika Latin.

Bebianno, yang memegang pangkat kabinet dan merupakan bekas ketua parti ultrakonservatif PSL, digantikan seorang general bersara, Floriano Peixoto, untuk meningkatkan kepada lapan jumlah orang tentera yang mengendalikan 22 kementerian Bolsonaro.

Sebagai ketua parti pemerintah PSL, Bebianno merupakan orang penting dalam kempen Bolsonaro pada tahun lepas yang membawa kepada pemilihan ahli politik berusia 63 tahun itu dalam pilihan raya pada Oktober lalu.

Apabila Bolsonaro memegang jawatan pada awal Januari, beliau membalas budi Bebianno dengan jawatan menteri di sebelahnya dalam istana presiden.

Namun pakatan yang erat itu terlerai selepas sebuah akhbar, Folha de Sao Paulo, melaporkan PSL dipercayai telah mencalonkan calon palsu dalam pilihan raya umum untuk menyalurkan dana awam ke tabung kewangannya.

Bebianno menafikan pembabitan dan cuba menepis krisis itu.

Beliau juga berkata, beliau sudah bercakap beberapa kali dengan Bolsonaro ketika presiden itu menghabiskan separuh masa pertama pada bulan ini di hospital untuk pulih daripada pembedahan perut.

Namun salah seorang anak Bolsonaro, Carlos Bolsonaro, yang merupakan ahli dewan undang negeri di Rio de Janeiro, berkata Bebianno berbohong dan tiada perbincangan sedemikian berlaku.

Beliau juga berkata beliau sudah meminta siasatan polis ke atas Bebianno.

Ia mencetuskan keributan dalam PSL dan di kalangan sekutu presiden, yang bertanya kenapa Carlos, yang tidak ada jawatan dalam pemerintahan presiden atau kerajaan persekutuan, dibenarkan untuk bertindak seperti itu terhadap Bebianno.

Selepas pertemuan demi pertemuan selama beberapa hari di kalangan pegawai atasan, Bolsonaro yang berkempen dengan ikrar untuk membersihkan gejala rasuah politik bertindak kelmarin dengan memecat Bebianno.

Reputasi Bolsonaro dicemari seterusnya oleh syak wasangka tentang urusan kewangan haram yang melibatkan seorang lagi anak Bolsonaro, Flavio, yang merupakan seorang senator.

Anak ketiganya yang juga ahli politik, Eduardo, penggubal undang-undang persekutuan, telah menerima wadah politik nasionalis yang dicipta Steve Bannon, bekas pakar strategi Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. — AFP

Advertisement