Anda di sini

Peruntukan sudah disalur

Advertisement
 Abang Johari bersalaman dengan Maszlee ketika menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pendidikan itu di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, semalam. Turut kelihatan Dr Azhar Ahmad dan Manyin (kanan).
TERIMA KASIH: Abang Johari bersalaman dengan Maszlee ketika menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pendidikan itu di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, semalam. Turut kelihatan Dr Azhar Ahmad dan Manyin (kanan).

KUCHING: Peruntukan RM100 juta daripada kerajaan persekutuan telah disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak untuk membina semula dan membaik pulih 33 sekolah daif di Sarawak tahun ini.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, kerja-kerja pembinaan semula dan menaik taraf sekolah terbabit akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri Sarawak mahu berterima kasih kepada Menteri Pendidikan Malaysia Dr Maszlee Malik kerana mengotakan janji untuk memperuntukkan RM100 juta kepada Sarawak bagi membina semula dan membaik pulih 33 sekolah daif (bagi tahun ini).

“Sekarang duit itu sudah ada dengan JKR Sarawak dan kerja-kerja pembinaan dan baik pulih menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) akan mula dilaksanakan pada bila-bila masa dari sekarang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada Maszlee di pejabat Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Pada September tahun lalu, Maszlee ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Abang Johari berkata, kerajaan persekutuan berjanji memperuntukkan RM100 juta untuk sekolah daif dan kritikal di Sarawak.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Dr Azhar Ahmad yang ditanya mengenai perincian 33 sekolah berkenaan berkata, buat masa ini pihaknya tidak boleh mendedahkannya.

“Maaf. Kami tidak boleh mendedahkan senarai 33 sekolah terbabit buat masa ini. Terima kasih atas keprihatinan anda,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp.

Terdahulu, Maszlee yang ditemui selepas kunjungan hormat itu berkata, pertemuannya dengan Abang Johari dan Manyin telah membuahkan beberapa hasil, antaranya kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri akan mencari jalan agar isu sekolah daif di Sarawak dapat diselesaikan bersama.

Mengenai berita pemberhentian bekalan diesel ke 21 sekolah di pedalaman Sarawak, beliau menegaskan perkara itu tidak pernah berlaku dan hanya salah faham.

Beliau memberi jaminan, bekalan diesel ke sekolah-sekolah terlibat akan diteruskan.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk memberitahu bahawa berita mengenai 21 sekolah di Sarawak yang diberhentikan bekalan diesel, itu tidak berlaku.

“Pembekalan diesel akan diteruskan dan pengagihannya ke sekolah-sekolah terbabit adalah seperti biasa,” katanya.

Maszlee juga memberitahu, Abang Johari bersetuju untuk menggalakkan lebih ramai pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di Sarawak.

Sehubungan itu katanya, beberapa urusan berkaitan imigresen akan dipermudahkan dengan kerjasama kerajaan Sarawak.

Ditanya mengenai perkembangan cadangan mewajibkan ibu bapa menyekolahkan anak-anak mereka sekurang-kurang sehingga tingkatan lima, beliau berkata. ia memerlukan pandangan daripada semua pihak serta kajian terperinci sebelum boleh dilaksanakan.

“Bukan hukuman yang menjadi keutamaan kita kerana apa yang diutamakan adalah supaya semua anak Malaysia mendapat pendidikan berkualiti,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement