Anda di sini

Martabatkan seni, budaya Kadayan

Advertisement
IDRIS (tiga dari kanan), Azize (empat dari kiri) dan Openg (tiga dari kiri) bersama busana etnik Kadayan Labuan.
IDRIS (tiga dari kanan), Azize (empat dari kiri) dan Openg (tiga dari kiri) bersama busana etnik Kadayan Labuan.

LABUAN: Kolej Matrikulasi Labuan (KML) sekali lagi melakar sejarah apabila berjaya menganjurkan Pameran Hari Wilayah Persekutuan Labuan 2019 yang bertemakan Sejarah, Kesenian dan Kebudayaan Setempat di ruang pameran Perpustakaan KML.

Majlis perasmian Pameran Hari Wilayah itu disempurnakan oleh Pengarah KML Mohd Idris Omar pada Isnin.

Simbolik perasmian disempurnakan Idris dengan menandatangani kotak bersama-sama Pengerusi Persatuan Kadayan Labuan (WAKAL) Haji Openg Abidin @Haji Lamit dan Pengerusi Persatuan Seni Visual Labuan (Lavista) Azize Mohd Yusoph.

Penyelaras pameran, Mohd Syaifudin Duakim Abdullah mengetengahkan etnik Kadayan yang merupakan antara keturunan Melayu yang mendiami Wilayah Persekutuan Labuan dengan dialek etnik yang menjadi bahasa perantaraan utama dalam pertuturan seharian penduduk pulau bebas cukai ini.

Pameran itu memperagakan pakaian tradisional etnik Kadayan yang dikenali sebagai kubamban laki dan kubamban bini serta hasil-hasil kraftangan etnik Kadayan.

Ruang pameran turut dihiasi dengan 72 kotak seni coret yang dibawakan oleh Lavista melalui penyertaan pengkarya dari Labuan, Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam.

Pameran itu yang berlangsung selama dua minggu sehingga 28 Februari turut menyajikan informasi sejarah awal Pulau Labuan sehinggalah perisytiharan sebagai Wilayah Persekutuan kedua di Malaysia pada 16 April 1984.

Advertisement