Anda di sini

KPLB rangka pelan strategik baharu

Advertisement
 Ewon (duduk, tengah) bersama peserta Bengkel Hala Tuju Kementerian Pembangunan Luar Bandar semalam. Peserta kursus itu terdiri daripada Pegawai Daerah seluruh Sabah. — Gambar Bernama
DIPERTINGKAT: Ewon (duduk, tengah) bersama peserta Bengkel Hala Tuju Kementerian Pembangunan Luar Bandar semalam. Peserta kursus itu terdiri daripada Pegawai Daerah seluruh Sabah. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah sedang merangka pelan strategik baharu bagi meningkatkan keberkesaan pelaksanaan pembangunan kawasan luar bandar di negeri ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, ini penting bagi menambah baik pelan strategik pembangunan luar bandar sedia ada yang dirangka oleh kerajaan negeri sejak 21 tahun yang lepas, sekali gus menyesuaikannya dengan keperluan dan aspirasi rakyat di kawasan luar bandar.

“Dasar baharu pembangunan luar bandar di peringkat nasional dan petunjuk prestasi utama perlu diambil kira dalam merangka satu dokumen pelan strategik Pembangunan Luar Bandar Sabah yang akan dilaksanakan melalui pejabat-pejabat daerah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Hala Tuju Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, di sini semalam.

Beliau berkata bengkel berkenaan yang diadakan selama dua hari bermula kelmarin, melibatkan kesemua pegawai daerah, penolong pegawai daerah dan timbalan Majlis Perbandaran serta beberapa agensi lain seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri, KPLB Persekutuan Sabah, jabatan-jabatan teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Air Sabah dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Selain bertujuan untuk merangka pelan strategik pembangunan luar bandar, bengkel berkenaan bertujuan untuk mengupas Dasar Pembangunan Luar Bandar Negara yang disediakan oleh KPLB Persekutuan.

“Melalui bengkel ini, kita akan kemukakan input atau ulasan kita berkenaan dasar baharu itu kepada KPLB Persekutuan sebelum dasar berkenaan diumumkan,” katanya.

Dasar Pembangunan Luar Bandar Negara adalah dasar baharu yang berfungsi sebagai panduan untuk membangunkan kawasan luar bandar di seluruh negara dan ia dikeluarkan oleh KPLB di peringkat Persekutuan.

Sebelum ini KPLB Sabah meminta agar KPLB Persekutuan menangguhkan pelancaran dasar berkenaan yang sepatutnya dumumkan pada bulan ini bagi memberi peluang kepada Kerajaan Negeri mengemukakan sebarang ulasan terhadap dasar yang berkaitan dengan negeri ini.

Ewon berkata, pada masa yang sama bengkel berkenaan turut membincangkan terma-terma jawatankuasa bersama antara KPLB Sabah dan KPLB Persekutuan dari segi penyelarasan dan pemilihan projek-projek pembangunan luar bandar di bawah KPLB Persekutuan di Sabah seperti Jalan-jalan Luar Bandar, Jalan Perhubungan Desa dan program-program ameniti sosial yang lain.

“Kita telah membentangkan senarai projek keutamaan yang kita bincangkan untuk Rolling Plan ke-4 yang akan dilaksanakan tahun ini dan tahun hadapan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), di bawah pembiayaan kerajaan persekutuan.

“Dalam hal ini jabatan-jabatan teknikal dan agensi berkaitan turut dijemput untuk sama-sama membincangkan senarai projek keutamaan yang telah disediakan supaya ia boleh dikaji semula sekiranya ada keperluan dan menukar tajuk projek mengikut keutamaan kerajaan Sabah hari ini,” tambahnya. — Bernama

Advertisement