Anda di sini

KPJ Sabah punya juruperunding terbesar di Sabah

Advertisement
DR MUNIRAH, Chan, para pegawai kanan dan warga KPJ Sabah mengucapkan 'Gong Xi Fa Cai'.
DR MUNIRAH, Chan, para pegawai kanan dan warga KPJ Sabah mengucapkan 'Gong Xi Fa Cai'.

KOTA KINABALU: Hospital Pakar KPJ Sabah merupakan hospital swasta yang mempunyai kumpulan juruperunding terbesar di Sabah, kata Pengarah Eksekutifnya Dr Munirah Khudri.

Beliau berkata, dengan rangkaian dan kepakaran yang kukuh, KPJ Sabah akan meneruskan peranannya dengan menyediakan perkhidmatan serta kemudahan penjagaan kesihatan yang berkualiti kepada pesakit, pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang masa.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua juruperunding, jururawat dan kakitangan perkhidmatan sokongan di atas usaha gigih mereka sepanjang musim perayaan untuk menjaga pesakit di wad," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina Hospital Pakar KPJ Sabah yang diadakan di hospital berkenaan pada Sabtu.

Perayaan Tahun Baharu Cina yang merupakan acara tahunan hospital itu disambut dalam suasana tradisional dengan kehadiran tetamu istimewa penghuni rumah orang tua dan rumah anak yatim.

Tetamu Kehormat majlis itu ialah Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin, pengurusan tertinggi KPJ Sabah yang diketuai oleh Pengarah Eksekutif Dr Munirah Khudri, Pengarah Perubatan Prof Datuk Dr Ajaz Ahmad Nabijan dan Ketua Pegawai Eksekutif Miranda Harumal.  Turut hadir, wakil insuran, rakan media, juruperunding, kakitangan, pesakit serta pelawat.

Dr Munirah berkata, sambutan Tahun Baharu Cina itu bertujuan meraikan suasana gembira dengan komuniti untuk mengukuhkan kehadiran KPJ Sabah sebagai pembekal penjagaan kesihatan di negeri ini.

"Semasa meraikan tahun lunar Cina, golongan kurang berkemampuan tidak pernah kita dilupakan," katanya.

Majlis itu dimeriahkan dengan persembahan  tarian singa dan diikuti acara tradisi Yee Sang yang diadakan di pentas utama.

Sementara itu, Chan mengucapkan tahniah kepada KPJ Sabah kerana menganjurkan acara itu dan peranannya untuk memberi kembali kepada masyarakat melalui perayaan berkenaan.

Beliau juga menggesa KPJ Sabah untuk bekerjasama rapat dengan agensi pelancongan tempatan yang memperlihatkan peningkatan pelancong, terutamanya dari China ke Sabah.

Di majlis itu, Chan turut diberi penghormatan menyampaikan sumbangan kepada beberapa rumah warga tua dan rumah anak yatim yang terpilih.

Rumah warga tua itu terdiri Rumah Warga Tua Sri Pritchard, Comfort Aged Care Centre dan Holy Family Residence for Senior Citizen, manakala rumah anak yatim adalah Care Heaven and Caring for the Future (Malaysia).

Advertisement