Anda di sini

Hantar mesej, telefon jika ada isu penting: Christina

Advertisement
CHRISTINA mempengerusikan mesyuarat khas bersama pegawai-pegawai jabatan dan agensi kerajaan di UTC Tawau.
CHRISTINA mempengerusikan mesyuarat khas bersama pegawai-pegawai jabatan dan agensi kerajaan di UTC Tawau.

TAWAU: Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew meminta pegawai-pegawai jabatan dan agensi kerajaan mengirimkan mesej atau menelefonnya jika ada isu penting di daerah ini yang perlu ditangani segera.

Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Tawau Fung Thin Yein atau Pegawai Perhubungan Samsuri Baharuddin dan Robert Penggai atau kaunselor-kaunselor Majlis Perbandaran Tawau (MPT), juga boleh dihubungi sebagai alternatif.

"Terutama sekali berkaitan bekalan air bersih kerana ini keperluan asas, hampir setiap minggu saya menerima aduan mengenai masalah bekalan terputus atau tidak lancar," katanya.

Beliau berkata demikian sempena mesyuarat rasmi bersama pegawai-pegawai jabatan dan agensi kerajaan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Tawau pada Isnin, menerusi kenyataan medianya pada Rabu.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu berkata kes berulang bekalan kering antara dua hingga tiga hari perlu dikenalpasti puncanya segera untuk mengelak kesulitan rutin harian orang Tawau berterusan.

"Kita akan bermesyuarat dua bulan sekali atau sebulan sekali jika perlu, demi memastikan tindakan wajar dapat diambil untuk menangani isu-isu yang menjejaskan rakyat," katanya.

Christina meminta lima jabatan dan agensi kerajaan untuk menghantar laporan mengenai masalah yang dihadapi di Daerah Tawau kepada pihaknya sebelum akhir bulan ini.

Menurutnya, perkara itu perlu dilakukan supaya isu-isu yang berlaku boleh disuarakannya di Dewan Undangan Negeri atau di Parlimen, jika memerlukan dana daripada Kerajaan Persekutuan.

"Antaranya, melibatkan laporan kertas kerja Jabatan Air berhubung penyelesaian masalah bekalan air termasuklah berkaitan projek empangan Cinta Mata di Gudang Empat.

"Laporan MPT yang melihat keutamaan terhadap keperluan untuk penambahan lebih banyak rumah kos rendah di bawah Program Perumahan Rakyat serta kemudahan parkir di UTC," katanya.

Beliau berkata laporan Jabatan Pendidikan pula menyentuh keperluan mendesak pertambahan bilik guru dan kelas untuk pelajar di beberapa sekolah menengah di sekitar daerah ini.

Turut diminta, laporan kertas kerja Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berhubung kepentingan menaik taraf Lapangan Terbang Tawau menjadi lapangan terbang antarabangsa.

Serta, laporan daripada Majlis Keselamatan Negara berkaitan keadaan semasa dan pendekatan yang diperlukan untuk menambah baik Pusat Tahanan Sementara.

"Berhubung keperluan untuk menaik taraf kemudahan jalan raya di daerah ini pula, kita akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pembangunan Infrastruktur," katanya.

Begitu juga, perhatian terhadap kes penolakan permohonan kewarganegaraan sehinggakan ada yang memohon berulang kali namun masih belum ada keputusan sampai bertahun-tahun.

Christina juga merayu orang kampung tidak membuang sampah ke sungai dan menggesa pihak berkuasa menyediakan lebih banyak tong sampah di kawasan luar bandar.

"Pada masa sama, kita turut prihatin terhadap isu-isu seperti Projek Lebuhraya Pan Borneo, perparitan dan banjir, kebakaran di tempat terbuka dan daftar lewat kelahiran," katanya.

  • oleh
  • Advertisement