Anda di sini

Wen Li tamatkan karier pemain skuasy junior dengan gelaran juara

Advertisement
WEN LI (kanan) dan Jessica (kiri) bersama jurulatih, Muhd Munir Khan sambil menunjukkan hadiah yang dimenangi selepas majlis penyampaian hadiah.
WEN LI (kanan) dan Jessica (kiri) bersama jurulatih, Muhd Munir Khan sambil menunjukkan hadiah yang dimenangi selepas majlis penyampaian hadiah.

KOTA KINABALU: Lai Wen Li menamatkan kariernya sebagai pemain skuasy junior dengan merangkul gelaran juara perempuan bawah 19 tahun Trofi Cabaran Kejohanan Junior Kebangsaan Yayasan CIMB 2019 di Bukit Jalil Kuala Lumpur baru-baru ini.

Wen Li menewaskan rakan sepelatihnya di Bukit Jalil, Ooi Kah Yan dalam final yang mendebarkan dan berlangsung dalam lima set.

Menang dua set pertama 11-9, 11-5, Wen Li terlepas set ketiga dengan kekalahan 4-11.

Pada set keempat berlaku perlanggaran menyebabkan pelindung mata Wen Li pecah dan terpaksa meminjam dari rakan sepasukan untuk meneruskan permainan tetapi hilang fokus dan tewas 7-11.

Set penentuan menyaksikan pertarungan sengit tetapi memihak kepada Wen Li untuk bergelar juara dengan keputusan 12-10.

Ia adalah penamat terbaik kerana ia adalah kejohanan junior terakhir buat Wen Li yang akan mencecah usia 19 tahun pada penghujung Mei 2019.

Selepas ini, Wen Li akan memberi tumpuan kejohanan Persatuan Skuasy Profesional Dunia (PSA) di mana dia kini berada di ranking 77.

Wen Li mensasarkan untuk berada dalam kelompok ranking 50 PSA tahun ini.

"Ia bukan mudah tetapi saya akan berusaha untuk capai sasaran itu," kata Wen Li dalam kenyataannya hari ini.

Wen Li adalah antara 11 pemain yang mewakili Sabah pada Kejohanan Junior Kebangsaan Yayasan CIMB pada 12-17 Februari itu.

Gelaran juaranya itu adalah salah satu dari dua gelaran juara yang dimenangi Sabah daripada 10 kategori yang dipertandingkan.

Satu lagi gelaran juara dimenangi Jessica Keng Won dalam kategori peremuan bawah 17 tahun. Jessica mengalahkan Noor Ainaa Amani Ampandi 11-8, 11-8, 7-11, 11-8 pada final.

Presiden Peratuan Skuasy Sabah (SSA) Datuk Charles O Pang berkata, Sabah turut menang satu perak menerusi Duncan Lee yang kalah di tangan rakan sepelatihnya di Bukit Jalil, Muhd Amir Amirul Azhar dari Kelantan dalam kategori bawah 17 tahun.

Yee Xin Ying (b17 perempuan) dan Tristan Andreas Muyou Angkaus (b13 lelaki) juga layak ke pusingan empat pemain terakhir tetapi kalah.

Bagaimanapun Tristan menerima hadiah tersendiri apabila  mendapat panggilan menyertai latihan skuad junior kebangsaan di Bukit Jalil bermula minggu depan.

Pang berkata, pencapaian Sabah pada kejohanan junior kebangsaan itu adalah permulaan tahun yang baik buat skuasy Sabah.

"SSA akan terus berusaha dan berkerjasama dengan badan induk skuasy negara untuk memajukan sukan skuasy negeri ini,"  katanya sambil berterima kasih kepada sokongan dan bantuan kewangan daripada Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) Sabah dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah untuk membolehkan penyertaan Sabah pada kejohanan kebangsaan berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement