Anda di sini

Sebelas lelaki didenda RM2,200 sertai perlagaan haiwan

Advertisement
LOKASI yang diserbu polis di Kampung Lapasan, Tuaran ketika perlagaan sabung ayam dilakukan.
LOKASI yang diserbu polis di Kampung Lapasan, Tuaran ketika perlagaan sabung ayam dilakukan.

KOTA KINABALU: Seramai 12 lelaki yang didakwa mengambil bahagian dalam perlagaan haiwan di daerah Tuaran, dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini.

Semua tertuduh berusia antara 27 hingga 54 tahun terdiri daripada empat penduduk tempatan, lima pemegang kad IMM13 dan tiga lagi tidak memiliki pas.

Bagaimanapun seorang daripada mereka pemegang kad IMM13 Rizman Maklin, 32, yang diwakili peguam P.J Perira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menetapkan pengurusan kes pada 8 Mac terhadap tertuduh yang diberikan ikat jamin sebanyak RM1,800 dicagarkan dua penjamin tempatan.

Sementara 11 tertuduh yang lain Tahir Dalani, Oyong Sarasdin, Mohd Usin Saffri, Mandi Ibba, Jefri Tiul, Iddin Abdulla, Elwan Ahmad, Eldisin Jimli, Datu Amil Amil Hamja, Zulhazari Abd Kadir dan Kamal Akuk dikenakan denda sebanyak RM2,200 atau penjara tiga bulan selepas mengaku salah.

Mereka didapati melakukan kesalahan itu pada 5 Februari jam 3.30 petang di Kampung Lapasan, Tuaran.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 21 (1)(g) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 21 (5) enakmen sama.

Mengikut fakta kes, polis membuat risikan di lokasi terbabit setelah mendapat maklumat daripada orang awam berhubung dengan perlagaan haiwan.

Semasa operasi dilakukan, kira-kira 150 orang berkumpul di tempat kejadian, namun berusaha melarikan diri setelah menyedari kehadiran polis.

AYAM-AYAM sabung yang dirampas polis semasa operasi terbabit.
AYAM-AYAM sabung yang dirampas polis semasa operasi terbabit.

Polis berjaya merampas 10 ekor ayam sabung dan sejumlah wang tunai RM12,000 dipercayai untuk aktiviti perjudian yang dilakukan.

Dalam pada itu, mahkamah memerintahkan barang kes dilupuskan pihak pendakwaan dan wang yang dirampas diserahkan kepada Perbendaharaan Negara.

Semua tertuduh yang tidak memiliki dokumen dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

  • oleh
  • Advertisement