Anda di sini

Real Madrid persiakan peluang kejar Barca

Advertisement
 Antara babak-babak aksi perlawanan La Liga di antara Real Madrid dan Girona yang berlangsung di Santiago Bernabeu, Madrid. — Gambar Reuters
TINGGI DI UDARA: Antara babak-babak aksi perlawanan La Liga di antara Real Madrid dan Girona yang berlangsung di Santiago Bernabeu, Madrid. — Gambar Reuters

MADRID, Sepanyol: Real Madrid mensia-siakan pendahuluan dan mungkin peluang mengejar Barcelona ketika Girona bangkit dari ketinggalan sebelum mencipta kemenangan 2-1 di Santiago Bernabeu dalam aksi La Liga Sepanyol Ahad lepas.

Girona belum menang dalam 13 perlawanan dan membayangkan kekalahan ketujuh berturut-turut apabila Casemiro meletakkan Real di hadapan dalam separuh masa pertama.

Tetapi mungkin kerana terlalu yakin dan Girona mengambil sepenuh peluang apabila Cristhian Stuani menyempurnakan satu tendangan penalti sebelum Portu menjaringkan gol kedua, menyebabkan Real berhempas-pulas mencari gol penyamaan sebelum Sergio Ramos dibuang padang pada minit ke-90.

Mereka gagal mencari gol penyamaan dan kekalahan menjejaskan kebangkitan mini Real dalam saingan kejuaraan liga.

Barcelona menewaskan Real Valladolid 1-0 pada perlawanan hari Sabtu tetapi aksi hambar meneruskan satu tempoh ketidaktentuan di Barca sementara Real memulakan perlawanan dengan tujuh kemenangan berturut-turut dan juga keputusan seri ketika menentang Barca.

Barca masih perlu ke Bernabeu lewat bulan ini tetapi perlawanan ‘El Clasico’ itu nanti mungkin tidak begitu mencemaskan sekarang kerana Barca kini memiliki kelebihan sembilan mata berbanding Real dengan Atletico Madrid kembali ke tangga kedua liga, tujuh mata di belakang Barca.

“Ia merugikan,” kata jurulatih Real, Santiago Solari.

“Kami tercicir mata dan pesaing kami menang. Ia merugikan kerana kami mengharungi tempoh yang hebat sebelum ini. Adakah saingan liga sudah berakhir? Tidak sama sekali,” kata beliau.

Kemenangan liga yang pertama buat Girona sejak bulan November itu meletakkan mereka empat mata di atas zon penyingkiran.

Solari juga harus dipersalahkan selepas menurunkan skuad berbeza selepas perlawanan Liga Juara-Juara ketika menewaskan Ajax pada pertengahan minggu.

Gareth Bale dan Vinicius Junior bermula di bangku simpanan sementara Luka Modric digantung. Marcelo kembali di posisi pertahanan kiri dan sekali lagi mempamerkan aksi hambar.

Real memulakan permainan dengan memberangsangkan dan kelihatan tidak menghadapi masalah untuk mencipta kemenangan liga yang kelapan apabila Casemiro menanduk umpanan Toni Kroos pada minit ke-25 untuk meletakkan Real di hadapan.

Real mula berasa terlalu yakin dan tidak lama selepas itu, mereka dihukum apabila Ramos menghadiahkan tendangan penalti buat Girona apabila menepis cubaan Douglas Luiz dengan tangannya.

Ramos sebaliknya hanya menerima kad kuning berbanding kad merah dengan Stuani tidak mensia-siakan peluang untuk menyempurnakan penalti bagi mengikat kedudukan.

Vinicisu dan Bale dimasukkan oleh Solari tetapi Vinicius mensia-siakan tiga peluang terbaik sebelum Portu meletakkan Girona di hadapan buat kali pertama. — AFP

Advertisement