Anda di sini

Perdagangan Malaysia-Indonesia wajar guna mata wang negara sendiri

Advertisement
SHAFIE (kiri) bersama Irianto menunjukkan pertukaran dokumen pada majlis itu.
SHAFIE (kiri) bersama Irianto menunjukkan pertukaran dokumen pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Aktiviti perdagangan di antara Malaysia-Indonesia wajar menggunakan mata wang dari negara masing-masing bagi meningkatkan lagi nilai Ringgit Malaysia dan Rupiah.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan oleh kerajaan Pusat kerana Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada penggunaan mata wang Amerika Syarikat (USD) ketika berdagang dengan negara-negara Asia, khususnya Indonesia.

"Tidaklah boleh bergantung sepenuhnya kepada USD ketika berdagang di antara negara Asean kerana ia mungkin boleh menyebabkan rizab mata wang negara berkurangan.

"Sekiranya volum perdagangan meningkat, maka ia memerlukan lebih banyak USD untuk berniaga yang saya fikir bukan cara terbaik kerana ia menyebabkan rizab kewangan kehabisan.

"Kita perlu pastikan cara dagangan ini dirujuk kepada pihak berkuasa di Kuala Lumpur. Kini perdagangan di antara Indonesia dan Thailand telah menggunakan mata wang masing-masing dalam urusniaga," katanya dalam sidang media selepas berucap pada Majlis Persidangan Sosek Malindo Peringkat Negeri Sabah sempena Kunjungan Hormat Gabenor Kalimantan Utara ke atas Ketua Menteri, di sini hari ini.

Beliau berkata, pendekatan itu sudah terbukti dengan langkah yang diguna pakai Indonesia dalam urusniaga dengan Thailand.

Katanya, sekiranya Malaysia dan Indonesia masing-masing menggunakan mata wang sendiri dalam urusan perdagangan, ia sudah pasti akan mengukuhkan lagi nilai Ringgit Malaysia dan juga Rupiah di rantau Asia.

"Ia penting bagi kita tingkatkan memandangkan cadangan pemimpin-peminpin Asia suatu masa dahulu untuk menggunakan satu mata wang di rantau ini tidak dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

"Apa yang boleh dilakukan untuk sementara ini adalah penggunaan mata wang negara masing-masing adalah cara terbaik demi kebaikan bersama," katanya.

Shafie yang juga Menteri Kewangan berkata, Sosek Malindo adalah satu landasan baik yang telah wujud selama 24 tahun bagi merapatkan hubungan dagangan di antara Malaysia dan Indonesia.

Katanya, hubungan itu menerusi Kalimantan Utara dan Sabah diharap dapat terus dieratkan bagi kepentingan bersama.

Menurutnya, hubungan dagangan itu perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa bukan sahaja membabitkan keuntungan kepada Malaysia tetapi juga kepada Indonesia.

Sementara itu, Gabenor Kalimantan Utara Dr H Irianto Lambrie berkata, tahun lalu pemimpin-pemimpin Asean telah bersepakat untuk mengurangkan kebergantungan kepada USD dalam urusan perdagangan di rantau ini.

"Tujuannya adalah bukan sahaja menguatkan mata wang negara masing-masing tetapi juga meningkatkan nilai mata wang kita.

"Kita sudah merintis pendekatan itu dengan Thailand pada akhir tahun lalu, saya berharap Indonesia nanti dapat mengadakan hubungan dagangan seumpamanya dengan Malaysia, Vietnam serta negara Asia yang lain.

"Sememangnya, Amerika Syarikat tidak akan senang hati dengan keputusan berkenaan tetapi itu biasalah," katanya.

  • oleh
  • Advertisement