Anda di sini

Pengarah, setiausaha syarikat didakwa guna dokumen palsu

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang pengarah dan setiausaha syarikat berasal dari Semenanjung didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu.

Bagaimanapun Mazalan Rajang, 51, dan Ida Shaliza Mustafar, 46, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie.

Mereka didakwa menggunakan dokumen 'Form Of Transfer Of Securities' sebagai tulen yang diketahui palsu, pada 2 Mac tahun lalu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia di sini.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Hamid Ismail didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Hukuman yang diperuntukkan jika sabit salah, penjara selama tempoh dua tahun atau boleh dikenakan denda, atau kedua-duanya.

Terdahulu Hamid menyatakan kedua-dua anak guamnya berasal dari Kuala Lumpur, Ida pertama kali datang di Sabah dan Mazalan tiga tahun lalu.

Beliau memohon jumlah ikat jamin yang rendah dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh kerana perlu menyara keluarga masing-masing.

Tambahnya Ida Shaliza dan Mazalan juga menghadapi kesukaran mencari penjamin tempatan.

Sementara menunggu kes selesai, mahkamah memberikan kedua-dua tertuduh ikat jamin sebanyak RM2,000 boleh dicagarkan penjamin tempatan yang sama.

Pengurusan kes ditetapkan pada 4 Mac untuk menetapkan tarikh perbicaraan.

  • oleh
  • Advertisement