Anda di sini

Palace, Wolves terselamat dari ancaman kelab liga bawahan

Advertisement
 Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Piala FA pusingan kelima di antara Doncaster Rovers dan Crystal Palace di Stadium Keepmoat di Doncaster. — Gambar Reuters
PERGELUTAN: Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Piala FA pusingan kelima di antara Doncaster Rovers dan Crystal Palace di Stadium Keepmoat di Doncaster. — Gambar Reuters

LONDON, England: Crystal Palace dan Wolverhampton Wanderers memastikan mereka mengelak menjadi kelab terbaharu Liga Perdana yang tersingkir dari saingan Piala FA Inggeris apabila menewaskan lawan dari liga bawahan untuk menempah tempat ke peringkat suku akhir Ahad lepas.

Palace menewaskan kelab divisyen tiga, Doncaster Rovers, kelab dari liga paling bawah (Liga Dua) 2-0 sementara Wolves menewaskan kelab Liga Kejuaraan, Bristol City 1-0.

Perlawanan pusingan kelima lain menyaksikan Swansea City menewaskan Brentford 4-1 pada pertemuan dua kelab Liga Kejuaraan.

Pemenang perlawanan Ahad lepas akan menyertai Manchester City, Brighton dan Watford di suku akhir dengan juara bertahan, Chelsea, menentang Manchester United pada perlawanan lewat.

Gol dalam separuh masa pertama dari Jeffrey Schlupp dan Max Meyer sudah memadai untuk Palace mencipta kemenangan di Yorkshire.

Gol Schlupp memberikan Palace, yang dibimbing Roy Hodgson, pendahuluan awal sebelum Meyer menambah jaringan beberapa saat sebelum rehat.

Doncaster menguasai awal permainan dan mempunyai beberapa cubaan tetapi perbezaan kelas di antara kedua-dua pasukan jelas diketahui di akhir perlawanan.

“Kami sememangnya tahu jika kami melepasi pusingan ini, kami berada pada kedudukan yang baik untuk melangkah ke Wembley (separuh akhir dan final),” kata Schlupp.

“Ia adalah satu kejohanan istimewa dan kami berharap tuah undian memihak kepada kami. Mungkin kami mendapat lawan yang tidak begitu kuat untuk mempunyai peluang meneruskan kemaraan.”

Pada perlawanan awal, gol Ivan Cavaleiro sudah memadai untuk Wolves mencipta kemenangan, sekali gus menamatkan penantian 16 tahun untuk ke suku akhir kejohanan.

Bristol City mempunyai peluang tetapi penyudah pemain tengah, Cavaleiro pada minit ke-28 sudah cukup untuk menamatkan rekod 15 perlawanan tanpa kalah dan sembilan kemenangan berturut-turut walaupun ia memerlukan tujuh aksi cemerlang penjaga gol Wolves, John Ruddy untuk mengekalkan kedudukan sehingga ke wisel penamat.

“Sudah pasti gol ini penting dan saya sangat gembira untuk menjaringkan gol tetapi apa yang lebih penting ialah pasukan meneruskan kemaraan,” kata Cavaleiro.

Pengurus Wolves, Nuno Espirito Santo menambah: “Ia sukar untuk bertahan apabila mereka meletakkan begitu ramai pemain dalam kotak penalti dan anda hanya berharap yang terbaik.”

Brentford membuka jaringan menerusi gol Ollie Watkins tetapi rentak permainan mereka menurun mendadak selepas itu dengan Swansea mendahului 2-1 pada awal separuh masa kedua menerusi gol sendiri Luke Daniels dan gol Dan James.

Keadaan semakin buruk buat Brentford apabila Ezri Konza dilayangkan kad merah ekoran kekasaran ke atas James pada minit ke-60.

Swansea memperolehi gol ketiga dari satu lagi gol sendiri Bentford, kali ini dari Bersant Celina sebelum George Byers melengkapkan jaringan. — AFP

Advertisement