Anda di sini

Mbappe tunjang PSG mendominasi Ligue 1

Advertisement
 Antara babak-babak aksi perlawanan Ligue 1 di antara St Etienne dan PSG di Stadium Geoffroy Guichard. — Gambar AFP
SENGIT: Antara babak-babak aksi perlawanan Ligue 1 di antara St Etienne dan PSG di Stadium Geoffroy Guichard. — Gambar AFP

PARIS, Perancis: Rembatan Kylian Mbappe memastikan Paris Saint Germain (PSG) menang tipis 1-0 di Saint Etienne untuk berada 12 mata di singahsana Ligue 1 Perancis Ahad lepas.

Mbappe, 20, menjaringkan gol liga ke-19 beliau musim ini ketika berbaki 17 minit permainan.

“Beliau (Mbappe) menunjukkan kualiti setiap hari dalam latihan, beliau mempunyai keazaman untuk sentiasa menjaringkan gol,” kata jurulatih PSG, Tuchel. “Ia kualiti beliau dan beliau adalah seorang pemain yang istimewa.”

Mbappe sekarang sudah menjaringkan 45 gol untuk PSG sejak berpindah dari Monaco pada awal musim lepas.

“Kami tewas kerana satu gol yang muncul tiba-tiba. Seorang pemain berusia 20 tahun ini akan menjadi pemain terbaik di dunia,” kata jurulatih Saint-Etienne, Jean Louis Gasset.

Dengan kejuaraan liga hampir pasti dalam tangan, PSG, yang juga kurang dua perlawanan berbanding pencabar terdekat, Lille, sekarang memburu untuk memecah rekod mereka sendiri dengan mengumpul 96 mata pada musim 2015/2016.

Tuchel merehatkan pemain tengah, Marco Verratti selepas beraksi pada pertengahan minggu ketika menentang Manchester United dalam Liga Juara-Juara, dengan Leandro Paredes diturunkan dalam kesebelasan utama yang pertama liga.

“Semua orang keletihan selepas (menentang) Manchester United dari segi fizikal dan mental,” tambah Tuchel. “Ia adalah penting untuk mengawal permainan dan bermain dengan fokus.”

PSG mempunyai peluang pertama pada minit ke-18 dengan cubaan Julian Draxler ditepis keluar dan satu lagi cubaan sedikit tinggi.

Mbappe kemudian menyaksikan rembatannya ditepis penjaga gol Saint Etienne, Stephane Ruffied dalam separuh masa pertama.

Draxler mensia-siakan satu lagi peluang selepas rehat sebelum Mbappe menjaringkan gol tunggal kemenangan pada minit ke-73.

Saint-Etienne cuba bangkit tetapi masa terlalu singkat untuk mencari gol penyamaan, membolehkan PSG mengesahkan  kemenangan ke-20 dari 23 perlawanan liga musim ini.

Pada perlawanan lain, Lille diikat tanpa jaringan oleh Montpellier sementara Reims meningkatkan peluang layak beraksi di Eropah musim hadapan apabila menewaskan Rennes 2-0. — AFP

Advertisement