Anda di sini

25 pelajar Kanada terperangkap di Haiti berlepas pulang

Advertisement
 Seorang lelaki memegang senapang di sebelah penghadang yang dibakar semasa demonstrasi antikerajaan di Port-au-Prince, Haiti pada Ahad. — Gambar Reuters
BERANI: Seorang lelaki memegang senapang di sebelah penghadang yang dibakar semasa demonstrasi antikerajaan di Port-au-Prince, Haiti pada Ahad. — Gambar Reuters

OTTAWA: Sekumpulan 25 pelajar sekolah dari Quebec, Kanada dan tiga pengiring mereka akhirnya berjaya meninggalkan Haiti pada Ahad, di mana mereka telah terperangkap susulan insiden tunjuk perasaan antikerajaan yang ganas.

“Kami kini berada atas pesawat dalam perjalanan pulang ke Montreal,” seorang daripada pengiring terbabit mengesahkan perkara itu melalui khidmat pesanan.

Pengusaha pelancongan Kanada, Transat, turut me-ngesahkan bahawa kumpulan pelajar itu telah menaiki penerbangan TS663 yang berlepas pada jam 3.59 petang dari ibu kota Haiti iaitu Port-au-Prince.

Selain kumpulan pelajar itu, kakitangan kedutaan Kanada yang ditutup buat sementara turut berlepas pulang dengan menaiki pesawat sama.

Sehari sebelum itu, sekumpulan 131 pelancong Kanada telah dibawa keluar dari sebuah pusat peranginan pantai di Haiti dengan heli-kopter selepas mereka terperangkap selama seminggu susulan pergolakan yang berlaku di negara tersebut.

Pelancong terbabit telah dibawa secara beransur-ansur ke lapangan terbang antarabangsa Port-au-Prince, di mana mereka menaiki penerbangan ke Kanada, menurut Transat.

Pada Jumaat, Kanada secara rasmi memberi amaran kepada rakyatnya agar tidak melakukan perjalanan ke Haiti, yang dikeluarkan selepas penutupan sementara kedutaan negara itu di Port-au-Prince.

Sejak 7 Februari, sekurang-kurangnya tujuh orang maut apabila Haiti terjebak dalam krisis politik yang menyaksi-kan kehidupan sehari-hari lumpuh akibat tunjuk pera-saan dan sekatan di bandar-bandar besar.

Para penunjuk perasaan, yang marah dengan kenaikan inflasi dan dakwaan berlaku penyelewengan hampir $2 bilion dalam subsidi minyak dari Venezuela, mendesak Presiden Jovenel Moise meletak jawatan. — Bernama

Advertisement