Anda di sini

Tragedi banjir di lombong emas Zimbabwe

Advertisement
 Pekerja penyelamat mengusung keluar mayat ketika usaha diteruskan untuk mengeluarkan para pelombong yang terperangkap dekat Kadoma, kelmarin. — Gambar Reuters
TRAGEDI: Pekerja penyelamat mengusung keluar mayat ketika usaha diteruskan untuk mengeluarkan para pelombong yang terperangkap dekat Kadoma, kelmarin. — Gambar Reuters

HARARE: Pasukan pekerja penyelamat mengeluarkan 24 mayat dan lapan mangsa terselamat kelmarin dari dua lombong emas yang ditenggelami air di Zimbabwe di mana pihak berkuasa bimbang beberapa pelombong haram masih terperangkap, lapor televisyen negara.

“Lapan pelombong yang terperangkap telah diselamatkan, sementara 24 mayat telah dikeluarkan setakat hari ini ketika usaha menyelamat diteruskan di Battlefields Mine,” lapor Zimbabwe Broadcasting Corporation.

Dua lombong yang tidak digunakan lagi itu terletak berhampiran pekan Kadoma, 145 kilometer barat daya ibu negara Harare.

Pelombong yang diselamatkan menerima rawatan perubatan di tempat kejadian sebelum dibawa ke hospital dan kini berada dalam keadaan stabil, tambah laporan tersebut.

Rakaman televisyen menunjukkan beberapa lelaki, dengan pakaian basah dan berlumpur, dipapah ke klinik sementara.

Dalam klip Twitter, seorang mangsa terselamat memberitahu wartawan bahawa air telah naik ke paras leher, memaksa mereka untuk berdiri selama beberapa jam sehingga ia surut.

Pada Jumaat lepas kerajaan menyatakan antara 60 dan 70 pelombong haram terperangkap di dalam dua lubang.

Ia melancarkan rayuan bagi AS$200,000 untuk digunakan mengepam keluar air, memberi makanan kepada keluarga yang terlibat dan pasukan (penyelamat) yang berada di kawasan tersebut, pengangkutan dan pengebumian mangsa, menteri tempatan July Moyo menyatakan dalam satu kenyataan.

“Berdasarkan kepada magnitud bencana mereka, kami merayu dengan sepenuhnya kepada individu, rakan pembangunan dan dunia korporat untuk bantuan dalam bentuk wang tunai dan pertolongan,” jelas beliau.

Zimbabwe dalam kemelut krisis ekonomi yang mendalam, terburuk dalam tempoh satu dekad.

Inflasi tahunan melonjak sehingga 56.90 peratus daripada 42.09 peratus pada Disember 2018, menurut statistik rasmi yang dikeluarkan pada Jumaat lepas, peningkatan paling tinggi dalam masa sedekad.

Ahli ekonomi menyatakan secara realiti harga telah meningkat lebih tiga kali ganda pada bulan-bulan sebelumnya.

Pengangguran rasmi dianggarkan lebih 90 peratus dan perlombongan emas haram kebanyakan di lombong panjang yang ditinggalkan beberapa korporat besar, menjadi sumber pendapatan untuk ramai pihak. — AFP

Advertisement