Anda di sini

Pemandu nyaris rentung

Advertisement
 Lori tangki minyak musnah sepenuhnya akibat kemalangan pagi semalam.
MUSNAH: Lori tangki minyak musnah sepenuhnya akibat kemalangan pagi semalam.
 Bomba menggunakan buih untuk memadamkan keseluruhan api tersebut.
GUNA BUIH: Bomba menggunakan buih untuk memadamkan keseluruhan api tersebut.

MIRI: Seorang pemandu lori tangki minyak sempat menyelamatkan diri daripada rentung dijilat api dalam kebakaran lori tangki minyak di Kilometer 51, Jalan Pesisiran Pantai Miri-Bintulu berhampiran Kampung Pelapi Bekenu dekat sini pagi semalam.

Difahamkan, mangsa dikenali Jerry Jawa, 30, hanya mengalami cedera ringan dan dibawa ke Hospital Miri menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi melibatkan lori tangki berisi minyak diesel dan RON95 dalam perjalanan dari Bintulu ke Miri.

“Apabila sampai di lokasi, lori tangki terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan terbalik serta melintang di tengah jalan.

“Pemandunya berjaya keluar dari lori tangki minyak itu dan tidak lama kemudian dipercayai terdapat percikan api dari bateri lori terbabit mengakibatkan ia terbakar,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Alexson berkata, kemalangan itu masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59.

Sementara itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri dan dibantu BBP Lopeng dan BBP Samalaju bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.33 pagi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong berkata kebakaran menyebabkan lori tangki minyak membawa diesel dan RON95 musnah sepenuhnya.

“Bomba menggunakan tembakan buih selain sumber air untuk memadamkan kebakaran minyak tersebut.

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan bangkai lori tangki minyak dialihkan ke tepi jalan raya agar jalan terbabit dapat dilalui kenderaan,” katanya sambil menambah operasi tamat sekitar jam 11.45 pagi.

  • oleh
  • Advertisement