Anda di sini

Miliki rokok bernilai RM5,359.60, warga Pakistan didenda RM60,000

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing dikenakan denda RM60,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas kesalahan memiliki sebanyak 3,780 kotak rokok pelbagai jenama bernilai RM5,359.60.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim juga memerintahkan penjara selama enam bulan dikenakan terhadap Bakhtiar Khan, 47, jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan terhadap tertuduh selepas menukar pengakuannya kepada bersalah mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Hukuman yang diperuntukkan jika sabit salah denda minimum 10 kali ganda hingga 20 kali ganda nilai barang atau penjara selama tiga tahun, atau kedua-duanya.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu di sebuah rumah sewa, Taman Kuala Manggatal di sini, pada 21 Februari tahun lalu.

Semasa rayuan peguam Erviana Ansari Ali menyatakan ayah kepada anak guamnya yang berada di negara Pakistan jatuh sakit setelah mendengar khabar anaknya ditangkap.

Katanya tertuduh mengaku salah setelah seorang saksi pihak pendakwaan dipanggil ketika perbicaraan dijalankan.

Beliau memohon hukuman ringan dikenakan memandangkan tertuduh direman sejak 8 November tahun lalu.

Namun Pegawai Pendakwa Nanang Alam dari Jabatan Kastam menegaskan hukuman setimpal harus dijatuhkan.

Mohamad Aizat juga mengarahkan Bakhtiar dirujuk ke Jabatan Imigresen dan barang rampasan dilucuthakkan kepada Jabatan Kastam.

  • oleh
  • Advertisement