Anda di sini

Kadar dividen KWSP 2018 bukti ekonomi memberangsangkan

Advertisement
 Lim berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2019 Jabatan Kastam Pulau Pinang, semalam. — Gambar Bernama
POSITIF: Lim berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2019 Jabatan Kastam Pulau Pinang, semalam. — Gambar Bernama

BUTTERWORTH: Pengumuman kadar dividen 2018 oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kelmarin membuktikan bahawa kedudukan ekonomi negara berada di tahap memberangsangkan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menyifatkan kadar itu sebagai di luar jangka, beliau berkata kebanyakan pakar sebelum ini meramalkan kadar dividen KWSP tidak akan dapat melebihi lima peratus berikutan keadaan ekonomi sekarang yang mencabar dan tidak menentu.

“Ini adalah satu prestasi yang saya rasa baik, melebihi jangkaan semua pihak. Kalau ikut ramalan daripada semua pakar mereka menjangkakan tidak mungkin enam peratus, nak capai lima peratus pun payah. (Pengumuman kadar) ini sesuatu yang amat baik.

“Dalam keadaan ekonomi global di mana semua lembap kerana konflik perdagangan antara Amerika Syarikat dan negara China, Malaysia masih boleh dianggap antara negara yang mempunyai prestasi yang baik. Tapi kita harus juga berhati-hati supaya kita dapat memastikan pembangunan yang mampan ini dapat diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang, di sini semalam.

KWSP dalam kenyataan kelmairn mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus untuk Simpanan Konvensional 2018, dengan agihan dividen sebanyak RM43.00 bilion dan 5.90 peratus untuk Simpanan Shariah, dengan agihan dividen RM4.32 bilion.

Mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengkritik kadar dividen itu kerana KWSP tidak mengiktiraf sebarang rosot nilai ke atas pegangan ekuiti tersenarainya pada tahun 2018 berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata pengiraan kadar dividen itu dibuat oleh golongan profesional.

“Semua pun yang dia (Najib) lihat tak kena. Tapi sekarang apabila KWSP buat pengumuman sedemikian mereka buat secara profesional, beliau pula pertikaikannya. Sekarang beliau nampaknya bersetuju ini (kadar dividen) melebihi jangkaan, dia pun tak duga. Terima kasihlah Najib sekarang akui ini adalah satu pengumuman dividen yang baik.

“Tapi jangan pula cuba persoalkan profesionalisme Ketua Pegawai Eksekutif KWSP ini yang memang disegani. Kalaupun nak hentam semua jangan hentam semberono. Kalau beliau tak puas hati beliau boleh buat permohonan untuk jadi Ketua Pegawai Eksekutif KWSP,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang menyalahkan Kementerian Kewangan berhubung pemotongan subsidi padi petani dan elaun sara hidup nelayan, Lim berkata beliau akan menyemak semula dakwaan itu.

“Biar saya semak dahulu baru boleh ulas kerana takut nanti tidak tepat. Harap boleh beri keadilan buat saya. Yang penting (elaun) masih ada tetapi biar saya rujuk semula terlebih dahulu. Mengenai kenyataan parti lawan itu biasalah, sekarang musim pilihan raya kecil Semenyih.  Pelbagai isu akan dikeluarkan termasuk yang tiada kaitan dengan kita (kerajaan) pun,” katanya. — Bernama

Advertisement