Anda di sini

Trump isytihar darurat di sempadan AS-Mexico, dikecam Demokrat

Advertisement
 Orang ramai berhimpun untuk membantah deklarasi darurat negara oleh Trump bagi membina tembok sempadan di Menara dan Hotel Antarabangsa Trump di Manhattan, New York, AS kelmarin. — Gambar Reuters
TIDAK SETUJU: Orang ramai berhimpun untuk membantah deklarasi darurat negara oleh Trump bagi membina tembok sempadan di Menara dan Hotel Antarabangsa Trump di Manhattan, New York, AS kelmarin. — Gambar Reuters

WASHINGTON: Presiden Donald Trump, yang menyebut tentang “pencerobohan” dadah dan penjenayah, mengisytiharkan darurat negara di sempadan Amerika Syarikat (AS)-Mexico kelmarin untuk membiayai pembinaan tembok yang sudah lama beliau inginkan, satu tindakan yang dikecam oleh golongan Demokrat sebagai “rampasan kuasa” yang menyalahi undang-undang.

Langkah luar biasa yang diambil oleh Trump itu akan membolehkannya untuk mengelak tentangan dalam Kongres dan cuba menyalurkan semula dana persekutuan termasuk wang Pentagon sebanyak berbilion dolar untuk membina tembok tersebut.

Tindakan itu adalah mesej yang amat jelas kepada golongan haluan kanan bahawa beliau sedang berusaha untuk menunaikan janji pilihan raya yang penting dan tanda bahawa imigresen haram kemungkinan akan terus menjadi isu politik yang hangat dalam kempen pilihan raya presiden pada 2020.

“Kita akan menangani krisis keselamatan negara di sempadan selatan kita dan kita akan melakukannya dengan apa jua cara,” kata Trump kepada pemberita di Taman Mawar Rumah Putih.

“Saya akan menandatangani darurat negara,” kata pemimpin AS itu. “Kita bercakap mengenai pencerobohan ke atas negara kita, dengan dadah, dengan pedagang manusia, dengan semua jenis penjenayah dan geng.”

Keputusan Trump untuk menggunakan kuasa darurat selepas perbalahan sengit dengan ahli Demokrat yang menyekat projek temboknya berakhir dengan penutupan kerajaan selama 35 hari telah mencemaskan penggubal undang-undang, termasuk dalam Parti Republikan, yang memberi amaran bahawa ia memberi contoh yang bahaya.

Speaker Dewan Nancy Pelosi dan Ketua Minoriti Senat Chuck Schumer, ahli Demokrat terkemuka dalam Kongres, segera mengecam “rampasan kuasa” oleh Trump.

“Deklarasi presiden yang menyalahi undang-undang itu, berhubung krisis yang tidak wujud, melakukan keganasan yang hebat ke atas perlembagaan kita dan menjadikan Amerika kurang selamat, mencuri daripada dana pertahanan yang amat diperlukan bagi keselamatan tentera kita dan negara kita.”

Ketua Peguam Negeri New York mengumumkan cabaran pertama bagi apa yang dijangkakan beberapa cabaran undang-undang.

Gabenor California Gavin Newsom tweet mesej yang sederhana kepada Rumah Putih: “Jumpa anda di mahkamah.”

Trump berkata beliau menjangkakan sepenuhnya bahawa beliau akan dicabar di mahkamah tetapi menyuarakan keyakinan bahawa beliau akan menang.

“Lihat, saya memang menjangka akan disaman,” katanya dengan berterus terang. “Apa yang menyedihkan ialah ia akan menjalani proses dan apa yang menggembirakan ialah saya fikir kami akan menang.”

Pengumuman Trump, yang membuka konfrontasi baharu dengan penggubal undang-undang dan mewujudkan bahaya undang-undang yang berisiko, dibuat selepas beliau dengan ragu-ragu menyetujui perjanjian untuk memastikan agensi persekutuan terus beroperasi sehingga 30 September tetapi tanpa pembiayaan yang beliau mahukan untuk tembok sempadan.

Rang undang-undang itu, yang beliau tandatangani kelmarin, melengkapkan pertarungan selama dua bulan berhubung wang sempadan yang ramai lihat sebagai dimenangi ahli Demokrat.

Trump sudah sekian lama menuntut AS$5.7 bilion untuk membina beberapa bahagian tembok di sempadan selatan sepanjang 3,200 kilometer.

Namun Kongres memperuntukkan hanya AS$1.375 bilion sahaja untuk perintang sempadan dan tidak secara khususnya sebuah tembok, dalam rang undang-undang tersebut.

Dalam pengumumannya, Trump terlepas cakap bahawa beliau sendiri mungkin melihat krisis itu sebagai bukan darurat tetapi lebih mengenai keutamaan pembiayaannya.

“Saya dapat membuat tembok itu dalam jangka waktu yang lebih lama,” beliau akui. “Saya tidak perlu melakukan ini, tetapi saya lebih suka melakukannya dengan jauh lebih cepat.”

Beberapa ahli Demokrat mengambil kesempatan ke atas kenyataan itu dengan menyatakan ia menafikan hujahnya sendiri bagi darurat negara.

Rumah Putih berkata perintah darurat itu memperkasakannya untuk mendapatkan kira-kira AS$6.6 bilion dari sumber lain, kebanyakan dana Pentagon yang sudah diperuntukkan.

Trump mengambil tindakan itu di bawah Akta Darurat Negara 1976 yang membenarkan deklarasi sedemikian dengan syarat terdapat sebab khusus bagi tindakan tersebut. — AFP

Advertisement