Anda di sini

Tiada rombakan kabinet

Advertisement
 Abang Johari disambut ahli MKT PBB ketika menghadiri mesyuarat di Ibu Pejabat PBB, semalam. Turut kelihatan Uggah (kiri) dan Awang Tengah (dua kiri).
TIBA: Abang Johari disambut ahli MKT PBB ketika menghadiri mesyuarat di Ibu Pejabat PBB, semalam. Turut kelihatan Uggah (kiri) dan Awang Tengah (dua kiri).

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menolak spekulasi bahawa Sarawak akan mengadakan rombakan kabinetnya dalam masa terdekat.

Katanya apa yang beliau maklum rombakan kabinet hanya mungkin berlaku di kabinet persekutuan tetapi bukan untuk Sarawak.

“Tidak ada (rombakan kabinet Sarawak), kalau dekat sana (persekutuan) saya dengar ada TPM baharu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Ibu Pejabat PBB di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Cina mengenai spekulasi bahawa Sarawak dijangka melakukan rombakan kabinet.

Sementara itu Abang Johari yang juga presiden PBB turut menyangkal spekulasi bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan dalam masa terdekat.

“Tidak… malahan kita tidak bincangkan ia pada mesyuarat hari ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berterima kasih atas sambutan yang amat baik penduduk Sarawak terhadap GPS.

Katanya selepas dilancarkan tiga bulan lepas, banyak permintaan daripada akar umbi mahu bersama GPS untuk memperkenalkan logonya.

Di samping itu, kata Abang Johari, warga Sarawak turut menyambut baik sembilan tonggak perjuangan GPS yang berteraskan perlembagaan, perundangan serta mempertahankan hak Sarwak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Perbincangan sedang berjalan di bawah jawatankuasa pemandu MA63 dan kita sentiasa mengemas kini mengenai perbincangan tersebut di mana kita tetap memberi kepada empat penekanan.

“Ia adalah empat perkara yang tidak boleh dibincangkan kerana sudah termaktub di bawah MA63 dan perlembagaan iaitu pertama  autonomi dalam bidang imigresen, kedua hak kita atas undang-undang tanah (Kanun Tanah), ketiga berkaitan sempadan negeri dan keempat hasil bumi kita,” tegasnya.

Abang Johari berkata, parti akan meneruskan usaha kebajikan kepada rakyat dengan adanya dana daripada kerajaan.

Mesyuarat turut dihadiri dua Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta ahli majlis tertinggi parti.

  • oleh
  • Advertisement