Anda di sini

Maduro kecam AS ‘curi’ berbilion dolar dan beri ‘sisa’

Advertisement
 Seorang wartawan mengikuti perbualan secara langsung dalam talian antara Presiden Colombia Ivan Duque (atas) dan Guaido menerusi telefon pintar di Caracas kelmarin. Maduro mengecam AS kelmarin kerana ‘mencuri’ berbilion dolar dan memberi ‘sisa’ untuk bantuan kemanusiaan. — Gambar AFP
KECAM AS: Seorang wartawan mengikuti perbualan secara langsung dalam talian antara Presiden Colombia Ivan Duque (atas) dan Guaido menerusi telefon pintar di Caracas kelmarin. Maduro mengecam AS kelmarin kerana ‘mencuri’ berbilion dolar dan memberi ‘sisa’ untuk bantuan kemanusiaan. — Gambar AFP

CARACAS: Presiden Venezuela Nicolas Maduro mengecam Amerika Syarikat (AS) kelmarin kerana “mencuri” berbilion dolar dan memberi balik “sisa” sebagai bantuan kemanusiaan.

Bertan-tan bantuan AS bertimbun di Colombia dekat sempadan dengan Venezuela manakala ketua pembangkang Juan Guaido berikrar untuk menentang cubaan Maduro untuk menghalang bekalan daripada memasuki negara.

“Ia adalah jerangkap samar, mereka mempamerkan sandiwara dengan makanan yang busuk dan tercemar,” kata Maduro pada satu acara di bandar tenggara Ciudad Bolivar.

“Mereka mencuri AS$30 bilion dan memberi empat sisa makanan busuk,” tambah pemimpin sosialis yang tertekan itu, yang merujuk kepada AS.

Venezuela sedang mengalami krisis ekonomi yang menyebabkan jutaan penduduk hidup dalam kemiskinan dan menghadapi kekurangan keperluan asas seperti makanan dan ubat-ubatan.

Guaido, yang diiktiraf oleh 50 negara sebagai presiden sementara, menuduh Maduro menyebabkan kesusahan ekonomi menerusi pengurusan yang salah.

Di antara negara tersebut adalah Costa Rica, di mana kementerian hal ehwal luarnya kelmarin memberi tempoh “60 hari kalendar” kepada tiga diplomat lantikan Maduro untuk meninggalkan negara itu.

Sementara itu Maduro menyalahkan sekatan AS bagi masalah yang dihadapi Venezuela, dengan dakwaan bahawa mereka yang menyebabkan negara itu kerugian AS$30 bilion.

Pengganti berusia 56 tahun yang dipilih sendiri oleh pemimpin sosialis yang lantang, Hugo Chavez, menganggapnya sebagai “perang oligarki”.

Kebanyakan sekatan AS menyasari individu rejim dan syarikat minyak kerajaan PDVSA, sumber pendapatan utama bagi kerajaan.

Bantuan kemanusiaan telah menjadi isu penting dalam perebutan kuasa di antara Maduro dan Guaido.

Ketua pembangkang itu, yang pada bulan lepas mengisytiharkan diri sebagai pemangku presiden, telah berjanji untuk membawa masuk bantuan pada 23 Februari.

Maduro enggan membenarkannya untuk masuk. Dan tenteranya yang setia telah menyekat sebuah jambatan sempadan antara Venezuela dan Colombia.

Pemimpin sosialis itu mendakwa bantuan tersebut hanya penyamaran bagi rancangan tentera AS untuk menceroboh negara, manakala Guaido berkata 300,000 orang mungkin akan mati tanpa bantuan yang amat diperlukan itu.

Bercakap kelmarin, Maduro berkata enam juta keluaraga sudah mendapat manfaat daripada kotak makanan bersubsidi dan mendakwa sudah membeli 933 tan ubat-ubatan dan bekalan perubatan dari China, Cuba dan Rusia, sekutu-sekutu utamanya pada peringkat antarabangsa.

“Kita membayarnya dengan wang kita sendiri kerana kita bukan pengemis kepada sesiapa pun,” katanya.

Guaido menuduh Maduro sebagai “perampas kuasa” ekoran pemilihannya yang kontroversi pada tahun lepas dalam pilihan raya yang ramai anggap sebagai satu penipuan.

Maduro berkata speaker Dewan Negara berusia 35 tahun itu adalah boneka kepada AS, yang cuba mendapatkan akses kepada rizab minyak yang terbesar di dunia  dan emas Venezuela.

Beliau berkata cabaran Guaido kepada kuasanya adalah “penderhakaan”.

“Perkara terburuk ialah merangsang kegilaan kerajaan pelampau Ku Klux Klan dalam Rumah Putih,” kata Maduro.

Penasihat keselamatan negara AS John Bolton mengumumkan Khamis lepas bahawa 25 negara telah “menjanjikan AS$100 juta dalam bantuan kemanusiaan”. — AFP

Advertisement