Anda di sini

‘Kelahiran semula’ gudang lama melayakkan IDC Architects menang anugerah

Advertisement
 (Dari kanan) Alan, Ng, Tina dan Jeffrey Yueng Lok Hin juga Pengarah Reka Bentuk IDC Architects bergambar bersama anugerah-anugerah yang dimenangi.
BANGGA: (Dari kanan) Alan, Ng, Tina dan Jeffrey Yueng Lok Hin juga Pengarah Reka Bentuk IDC Architects bergambar bersama anugerah-anugerah yang dimenangi.
 Perabot di The Granary dibuat daripada bingkai tingkap dan pintu terpakai.
UNIK: Perabot di The Granary dibuat daripada bingkai tingkap dan pintu terpakai.
 Ng dan Alan menunjukkan foto bahagian dalam The Granary ketika ditemu bual.
DI ATAS KERTAS: Ng dan Alan menunjukkan foto bahagian dalam The Granary ketika ditemu bual.

BERASASKAN konsep pemulihan, IDC Architects Sdn Bhd memberi ‘kelahiran baharu’ kepada gudang lama yang usang untuk menjadikannya sebuah restoran kaya dengan cirinya tersendiri, The Granary Kuching.

Gudang lama yang digunakan bengkel membaiki kereta dan berusia lebih 60 tahun itu yang terletak di Wayang Street di Kuching, sebelum ini terbiar dan tidak ramai tahu akan kewujudannya dibaik pulih menggunakan bahan-bahan binaan terpakai seperti kayu, keluli dan kaca.

Dalam proses-proses pengubahsuaian struktur sedia ada dalaman dikekalkan sebanyak yang mungkin.

Penekanan kepada konsep itu melayakkan IDC Architects memenangi Anugerah Kepujian daripada Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) bagi kategori ‘Adaptive Reuse’ pada Mei 2018.

Projek The Granary Kuching juga melayakkan firma tempatan itu merangkul Anugerah (Emas) MIID Reka Award 2018 bagi kategori ‘Green Interior & Adaptive Reuse’, anugerah tertinggi untuk kategori tersebut.

Pengarah IDC Architects Ng Chee Wee berkata, mereka menggunakan kayu, keluli dan kaca terpakai secara meluas untuk bahagian dalaman bangunan, projek ini adalah contoh terbaik bagaimana bangunan yang daif boleh diguna semula dan diadaptasi sesuai dengan konteks serta persekitaran baharu.

“Sebelum kami menukarkannya kepada bentuk dan rupa sekarang, ia adalah sebuah gudang lama, tiada siapa tahu kewujudannya kerana ia terlindung di belakang rumah kedai, ia sangat usang dan bahagian bumbungnya sudah runtuh.

“Ia merupakan struktur dua tingkat di bahagian hadapan manakala satu tingkat di bahagian belakang. Sebuah gudang yang mempunyai struktur sangat ringkas.

“Uniknya bangunan lama ini mempunyai banyak ‘peribadi’ kerana berusia terlalu lama menyebabkannya mempunyai ‘patina’, ciri yang tidak ada pada bangunan baharu,” jelasnya.

Ng berkata kali pertama klien, Pengarah Urban Village Sdn Bhd Rosemarie Wong melihat bangunan itu, beliau sudah ‘jatuh cinta’ kerana sekarang tidak banyak bangunan seperti itu di Kuching.

“Klien kami mahu mengubah sebuah gudang usang kepada sebuah restoran dan bar yang moden tanpa banyak mengubah struktur asalnya.

“Jadi kami perlu mereka bentuk baharu yang sesuai dengan konsep baharu pada masa sama mahu mengekalkan sebanyak mungkin struktur sedia ada dan menjadikannya lebih kukuh, selamat dan sesuai dengan fungsi baharunya,” kata Ng.

Projek Granary Kuching bermula pada 2015 dan mereka memerlukan masa selama tiga tahun untuk menyiapkannya.

Bagi memberi ‘kelahiran semula’ kepada bangunan itu Ng dan kumpulannya telah membina semula lantai mezanin dan menggantikan struktur kayu yang sudah tidak kukuh lagi dengan kayu baharu.

Mereka juga menggantikan atap yang dalam keadaan usang dengan keluli tahan karat yang dicat warna perang agar ia harmoni dengan struktur kayu.

“Ini projek yang sangat menarik kepada kami sebagai arkitek, kerana selalunya sebagai arkitek kami membina bangunan baharu, tetapi kali ini ia (bangunan) sudah ada dan perlu mengekalkannya dan cuba membawa semula ciri-ciri asalnya.

“Ia seperti memberi kehidupan baharu dan kelahiran semula kepada bangunan ini,” kata Ng.

Sementara itu Tina Lau yang juga pengarah IDC Architects berkata mereka menggunakan elemen kitar semula untuk menyelamatkan struktur lama.

“Klien kami banyak membantu dalam menyiapkan projek ini, kerana beliau dalam sektor binaan terutama dari segi bahan binaan terpakai yang masih kukuh.

“Ramai kontraktor tidak begitu gemar menggunakan bahan binaan terpakai kerana bagi mereka adalah lebih cepat menggunakan bahan-bahan binaan baharu.

“Sebab itulah kami memerlukan masa yang agak lama untuk menyiapkan projek ini berbanding projek-projek biasa kerana ia tidak semudah disangka,” jelas Tina.

Kata Ng, mereka menggunakan bahan-bahan binaan terpakai seperti bingkai tingkap dan pintu untuk membuat meja, kaunter bar dan perhiasan.

Bagi menampakkan hasil kerja yang berkualiti tinggi dan asli mereka menggunakan khidmat tukang kayu profesional.

Selain itu, katanya bagi mengekalkan ciri asal bangunan itu, The Granary tidak dipasang dengan penyaman udara sebaliknya menggunakan kipas ‘gergasi’ dan mengutamakan sistem pengudaraan semula jadi.

“Kita mahu The Granary sebagai bangunan hijau dari segi penggunaan tenaga elektrik. Bangunan seperti ini seharusnya mempunyai ciri-ciri pengudaraan yang semula jadi dan terbuka,” jelasnya.

Alan Lau, juga Pengarah IDC Architects berkata, mereka perlu memberi banyak kredit kepada klien kerana ramai klien mahu membuat kerja dengan cepat dan mudah tanpa melihat nilai yang ada pada bangunan.

“Kami amat bertuah kerana bekerja sama dengan klien yang sanggup menghabiskan masa dan tenaga untuk mengekalkan sesuatu yang sangat unik,” katanya.

Alan juga berkata orang yang datang ke The Granary sudah tentu dapat mengimbau kembali bandar Kuching yang lama, penuh bersejarah.

The Granary kini katanya mendapat tempat daripada warga kota serta orang ramai yang inginkan kelainan tetapi tetap mengekalkan nilai sejarah bandar raya Kuching khasnya.

“Oleh itu pemeliharaan tidak bermakna anda tidak boleh membawa keuntungan. The Granary adalah contoh terbaik.

“Pemeliharaan juga tidak bermakna kita perlu mengekalkan sesuatu dengan cara sama,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement