Anda di sini

Tawaran bangunkan LSS3 bernilai RM2 bilion dibuka pada 27 Februari

Advertisement
 Yeo semasa sidang media Pelaksanaan Pembidaan Terbuka Projek Loji Jana Kuasa Solar Berskala Besar di kementeriannya, Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
projek: Yeo semasa sidang media Pelaksanaan Pembidaan Terbuka Projek Loji Jana Kuasa Solar Berskala Besar di kementeriannya, Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Tawaran untuk membangunkan Projek Loji Jana Kuasa Solar Berskala Besar pusingan ketiga (LSS3) bernilai RM2 bilion dibuka pada 27 Feb hingga 19 Ogos, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

Beliau berkata projek LSS3 dengan jumlah kapasiti 500 megawatt (MW) di Semenanjung Malaysia akan dilaksanakan melalui proses pembidaan kompetitif dan terbuka supaya memberikan kadar tarif yang terbaik untuk dimanfaatkan oleh rakyat.

Katanya tempoh penjualan dokumen untuk permohonan cadangan bagi proses pembidaan bermula semalam hingga 27 Feb dan boleh dibeli di Ibu Pejabat Suruhanjaya Tenaga di Presint 2, di sini.

“Pembida LSS3 yang berjaya akan diumumkan pada akhir tahun ini. Pembinaan LSS3 merupakan komitmen kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu daripada 2 peratus kepada 20 peratus menjelang 2025,” katanya kepada pemberita pada sidang media berhubung Pelaksanaan Pembidaan Terbuka Projek LSS3 di sini semalam.

Menurut Yeo, kerajaan sedang melaksanakan dua kitaran projek LSS dengan kapasiti terpasang 958MW pada akhir tahun ini hingga 2020.

Melalui pelaksanaan LSS3, setiap 1MW loji solar dijangka dapat menjana tenaga sebanyak 1,490MWj (megawatt jam) yang berupaya membekalkan elektrik kira-kira 160 rumah dan dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 1,034 tan/tahun.

Oleh itu, katanya pengurangan pelepasan karbon dioksida untuk jumlah 500MW dijangka dapat mengurangkan pelepasan gas itu sebanyak 517 kilotan/tahun.

Yeo turut menerangkan pelaksanaan projek LSS3 mampu menjana pelaburan berjumlah RM2 bilion dengan mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Beliau berkata kerajaan juga menetapkan komponen kejuruteraan, pembangunan dan pentaulihan bagi projek LSS3 perlu menggunakan sepenuhnya keupayaan tempatan dengan melantik kontraktor tempatan yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Namun, katanya pengendali projek yang berjaya dibenarkan memiliki rakan kongsi asing dengan pemilikan 49 peratus dalam projek itu dan boleh membeli perolehan dari negara luar.

Katanya had penawaran kuota kepada setiap pemaju ditingkatkan daripada 30MW sebelum ini kepada 100MW, dan tawaran kapasiti daripada 1MW hingga 100MW boleh dilaksanakan di satu lokasi atau secara agregat di lokasi berasingan dengan tawaran tarif yang sama untuk kesemua lokasi atau berbeza bagi setiap lokasi.

“Ia untuk memastikan pemaju projek mendapat kadar pembiayaan yang lebih baik daripada institusi kewangan melalui skala yang lebih besar dan dapat menurunkan harga tarif elektrik yang ditawarkan,” katanya.

Dengan kadar tarif yang ditawarkan oleh pemaju solar pada kadar serendah 33.98 sen/kwj (kilowatt jam) di bawah LSS2, Yeo berkata kerajaan yakin kadar itu akan turun ke tahap yang lebih rendah dan dapat menandingi kadar tarif yang ditawarkan oleh loji-loji jana kuasa yang menggunakan bahan api lain seperti gas dan arang batu menjelang 2030. — Bernama

Advertisement