Anda di sini

RHB Research jangka BNM kekalkan OPR 2019 pada 3.25%

Advertisement

KUALA LUMPUR: RHB Research mengunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada kedudukan stabil, 3.25 peratus, untuk sepanjang 2019.

Pada Khamis, bank pusat itu mengumumkan angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2018 pada 4.7 peratus bagi suku keempat 2018 (4Q18) dan kadar yang sama bagi setahun penuh.

Dalam notanya semalam, RHB Research berkata BNM dalam unjuran kes asasnya, menjangkakan pertumbuhan KDNK yang baik bagi 2019.

“Ia dilihat selesa dengan peningkatan pertumbuhan KDNK 4Q18. Kami bagaimanapun percaya pertumbuhan asas masih tidak menarik memandangkan ia sebahagian besarnya dipacu oleh satu enjin pertumbuhan sahaja iaitu penggunaan swasta,” katanya.

Mengenai pengekalan kadar OPR, RHB Research berkata risikonya bagaimanapun kekal dalam kedudukan menurun.

Firma penyelidikan itu berkata jika ekonomi global memasuki tahap kemelesetan, dan ekonomi Malaysia teruk terjejas, BNM masih mempunyai dasar yang tersedia untuk menampung impaknya.

“Pada 14 Feb, BNM mengadakan taklimat analisis pengumuman pertumbuhan sebenar KDNK 4Q18.

“Berdasarkan taklimat itu, BNM nampak selesa dengan pertumbuhan 4.7 peratus tahun ke tahun pada suku terbabit,  peningkatan berbanding +4.4 peratus pada suku ketiga 2018.

“Peningkatan itu sebahagian besarnya dipacu oleh pemulihan eksport bersih manakala pertumbuhan import kekal suram.

“Bagaimanapun, kami berkongsi pandangan yang sama dengan BNM bahawa risiko dunia mengalami kemelesetan ekonomi adalah sangat rendah, dan kitaran pertumbuhan ekonomi dunia walaupun pada kitaran yang lewat, namun berlanjutan memandangkan bank pusat dunia sensitif kepada sebarang petunjuk terhadap tekanan menurun,” kata RHB Research. — Bernama

Advertisement