Anda di sini

Persatuan Tarian Singa Persatuan Hokkien ceriakan Tabika KEMAS Lakil C dan D

Advertisement
 Kanak-kanak Lakil C menunjukkan buah kam dan angpau yang disampaikan oleh Ang (dua kiri).
TERUJA: Kanak-kanak Lakil C menunjukkan buah kam dan angpau yang disampaikan oleh Ang (dua kiri).
 Aksi lincah penari tarian singa menarik perhatian kanak-kanak.
SERONOK: Aksi lincah penari tarian singa menarik perhatian kanak-kanak.
 Kanak-kanak Lakil C menunjukkan hasil tangan mereka melakar singa sempena kehadiran Persatuan Tarian Singa Persatuan Hokkien Limbang.
KREATIF: Kanak-kanak Lakil C menunjukkan hasil tangan mereka melakar singa sempena kehadiran Persatuan Tarian Singa Persatuan Hokkien Limbang.

BERKONGSI kegembiraan dan kebudayaan, itu matlamat utama Tabika KEMAS Lakil C dan D sebaik menerima kunjungan tetamu dari Persatuan Tarian Singa Persatuan Hokkien Limbang, baru-baru ini.

Kehadiran Persatuan Tarian Singa Persatuan Hokkien Limbang berjaya mencetuskan suasana meriah sambutan Tahun Baharu Cina yang masih dirasai oleh masyarakat pelbagai kaum di daerah Limbang.

Lebih manis Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Kapitan Ang Chiw Kiam ke Tabika KEMAS Lakil C dan D turut menceriakan suasana apabila kanak-kanak menerima angpau dan buah kam.

Malah Ang turut melayan kerenah kanak-kanak yang pertama kali melihiat secara dekat keunikan tarian singa yang menjadi tradisi utama masyarakat Tionghua setiap kali tibanya Gong Xi Fa Chai.

Ang berkata, Sarawak sememangnya unik kerana meraikan pelbagai perayaan dan kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina contohnya, wajar dikongsi kepada semua terutama kanak-kanak seawal usia empat tahun.

“Kegembiraan kanak-kanak Tabika KEMAS Lakil C dan D jelas terpancar kerana mereka teruja dan terpaku melihat kelincahan aksi tarian singa  yang mengenakan kostum singa berwarna-warni bergerak ke sana sini,” katanya.

Kehadiran tarian singa katanya memberi satu pengalaman menyeronokkan dan kanak-kanak dapat mempelajari kebudayaan masyarakat Cina sejajar dengan kepelbagaian budaya di negara ini.

Turut hadir ialah Pemaju Masyarakat LAKIL C Siti Ardila Pedi dan Pemaju Masyarakat Tabika KEMAS Lakil D Anne Brahim.  

Advertisement