Anda di sini

Permintaan domestik Malaysia perlahan pada suku keempat, sektor utama berkembang: BNM

Advertisement

KUALA LUMPUR: Permintaan domestik Malaysia menyaksikan pengembangan yang perlahan pada suku keempat berakhir 31 Dis, 2018, bagaimanapun dari segi penawaran, sektor utama terus berkembang, dengan pertumbuhan dalam sektor berkaitan komoditi mencatatkan peningkatan.

Dalam Buletin Suku Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi Suku Keempat 2018 yang dikeluarkan semalam, BNM berkata permintaan domestik perlahan kepada 5.6 peratus pada suku keempat 2018, susut daripada 6.9 peratus pada suku ketiga 2018, sebahagian besarnya dipengaruhi oleh penyederhanaan dalam pembentukan modal tetap kasar, yang naik sedikit sebanyak 0.3 peratus daripada 3.2 peratus pada suku tahun sebelumnya.

“Pertumbuhan penggunaan swasta kekal teguh pada 8.5 peratus pada suku keempat 2018 daripada sembilan peratus pada suku ketiga 2018, walaupun terdapat pembelian awal semasa tempoh tanpa cukai pada suku tahun sebelumnya,” katanya, sambil menambah pertumbuhan pendapatan dan pekerjaan terus memacu perbelanjaan isi rumah.

Bank pusat itu juga berkata langkah kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup, seperti bayaran khas kepada penjawat awam dan pesara, turut memberi sedikit sokongan kepada perbelanjaan pengguna.

Mengenai penggunaan awam, ia berkembang pada kadar yang lebih perlahan sebanyak empat peratus pada suku keempat 2018 daripada 5.2 peratus pada suku tahun sebelumnya, disebabkan pertumbuhan yang lebih sederhana dalam bekalan dan perkhidmatan.

Dari segi pelaburan, BNM berkata pertumbuhan pelaburan swasta sederhana kepada 4.4 peratus pada suku keempat 2018 daripada 6.9 peratus pada suku ketiga 2018, disebabkan perbelanjaan modal yang perlahan dalam sektor ekonomi utama.

“Bagaimanapun, projek pelbagai tahun yang sedang dilaksanakan, terutamanya dalam sektor pembuatan terus memberi sokongan kepada pertumbuhan secara keseluruhan,” katanya.

Mengenai pelaburan awam, BNM berkata ia merosot 5.5 peratus pada suku tahun itu daripada penguncupan sebanyak 4.9 pada suku ketiga 2018, sebahagian besarnya disebabkan penurunan dalam perbelanjaan modal oleh syarikat awam.

Dari segi penawaran, bank pusat itu berkata pertumbuhan dalam sektor pembuatan terus didorong oleh pengukuhan yang berterusan dalam elektronik dan elektrik (E&E) dan pengeluaran berkaitan pengangkutan.

“Pertumbuhan yang agak kukuh dalam kluster E&E disebabkan aktiviti eksport di peringkat global dengan jangkaan tarif perdagangan yang lebih tinggi antara Amerika Syarikat dan China.

Katanya prestasi sektor perlombongan turut pulih, disokong oleh pengeluaran minyak dan gas asli yang lebih tinggi susulan penutupan penyelenggaraan pada suku tahun sebelumnya.

“Walaupun pengeluaran minyak sawit dan aktiviti menoreh getah lemah disebabkan cuaca buruk, sektor pertanian mencatatkan penurunan yang kecil,” katanya.

Mengenai sektor pembinaan, BNM berkata sektor tersebut mencatatkan pertumbuhan yang rendah berikutan penyederhanaan dalam kejuruteraan awam dan subsektor perdagangan khas.

“Subsektor kejuruteraan awam menerima impak daripada projek petrokimia yang besar yang hampir siap dan kelewatan dalam pembinaan lebuh raya,” katanya, sambil menambah sokongan daripada aktiviti kerja-kerja awal di subsektor perdagangan khas telah berkurangan, berikutan projek beralih kepada fasa pertengahan.

“Pertumbuhan dalam subsektor bukan kediaman naik sedikit, manakala pertumbuhan dalam subsektor kediaman terus lemah dengan jumlah hartanah kediaman yang tidak terjual tinggi,” katanya.

Dalam sektor perkhidmatan, bank pusat itu berkata subsektor borong dan perdagangan runcit terus disokong oleh pengukuhan yang berterusan dalam perbelanjaan pengguna. — Bernama

Advertisement